HARI pertama Petronas Terbuka Malaysia bagai hilang seri apabila beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah kalah mengejut seawal pusingan pertama.

Gandingan harapan negara yang diletakkan selaku pilihan kelapan itu tumpas kepada wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 19-21, 14-21.

“Hari ini memang tidak menjadi buat kami, tapi mereka (lawan) bermain dengan lebih baik. Mereka dapat mengawal pergerakan angin dengan baik,” kata Pearly.

Pearly Tan-M Thinaah perlu lebih fokus dan berdisiplin dalam permainan.

Begitupun, pemain kelahiran Kedah itu enggan memikirkan kekalahan itu terlalu lama dan tidak mahu ambil pusing apa yang diperkata orang lain, sebaliknya mahu kembali dengan prestasi lebih baik di Terbuka India minggu hadapan.

Sementara itu, Thinaah mengakui pasangna adik beradik itu memberi tekanan hebat kepada mereka, terutamanya pada set kedua.

Katanya, juara Eropah itu lebih fokus dalam setiap mata yang mereka peroleh.

Gandingan adik beradik dari Bulgaria, Gabriel Stoeva dan Stefani Stoeva berjaya membalas dendam kekalahan kepada Pearly-Thinaah di Terbuka Switzerland 2021.

“Kami tidak lakukan bahagian kami dengan baik, jadi kami perlu pulang dan lihat semula bahagian mana yang perlu diperbaiki.

“Kekalahan ini sudah menjadi sejarah dan akan fokus kepada kejohanan seterusnya. Hari ini serba tidak menjadi,” kata Thinaah, sambil mengakui dia dan Pearly gagal menguasai pergerakan angin di Axiata Arena.

Pada edisi tahun lalu, Pearly dan Thinaah melangkah ke pusingan kedua sebelum tewas kepada Zhang Shuxian-Zheng Yu d ari China.