PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao masih memerlukan lebih banyak pendedahan di pentas antarabangsa untuk mengutip pengalaman dan mengasah kemahiran membaca corak permainan lawan.
Legenda badminton negara Datuk Foo Kok Keong berkata, keupayaan menganalisa permainan lawan adalah faktor penting bagi menentukan kemenangan selain kekuatan fizikal dan mental.
“Jun Hao perlu banyak belajar, membuat analisis permainan lawan sendiri dan mencari jalan bagaimana menanganinya kerana pemain lain di dunia kini semakin kuat,” katanya, ketika ditemui pada majlis kerjasama Eco-Shop bersama Kelab Famemas Kuala Lumpur.

Leong Jun Hao perlu bijak membuat keputusan sendiri dalam gelanggang.
Beliau turut mengingatkan bahawa disiplin dan motivasi dalaman menjadi kunci utama untuk seorang pemain meningkat ke tahap tertinggi.
Dalam masa sama, Kok Keong mengakui prestasi beregu negara semakin menyerlah di peringkat dunia, namun perseorangan lelaki masih ketinggalan dan perlu segera dipertingkatkan.
“Ramai pemain muda berbakat dari Eropah, Indonesia dan China sudah mula menyerlah, jadi pemain kita mesti berusaha lebih gigih untuk terus bersaing,” jelasnya.
Kok Keong muncul peraeorangan lelaki pertama negara menduduki ranking nombor 1 dunia pada tahun 1991 berkata, semangat berpasukan dan kecintaan kepada negara adalah ramuan utama yang pernah membawa skuad Malaysia meraih kejayaan besar, sesuatu yang wajar dijadikan inspirasi generasi baharu.