KEDUDUKAN tangga kesembilan dunia dihuni Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika ini bakal merosot minggu hadapan, apabila gandingan terbabit gagal mengulangi pencapaian Terbuka Malaysia tahun lalu, sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Terkandas di pusingan kedua pada kejohanan pembukaan musim ini, tentunya bukan skrip yang diingini mereka yang memburu tempat ke Sukan Olimpik buat kali pertama.

Namun, sememangnya sudah dijangka gandingan terbaik beregu campuran negara itu bakal berdepan perlawanan sukar menentang Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, selepas rekod pertemuan kedua-dua gandingan seimbang, masingpmasing menang satu perlawanan dan kedua-dua pertemuan lalu berakhir dalam rubber set.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal hadirkan impak pada Terbuka Malaysia 2024.

Namun kali ini, pasangan Jepun itu tiada masalah membenam cabaran Tang Jie-Ee Wei, straight set, 24-22, 21-14 dalam tempoh 42 minit.

“Saya rasa memang kami main tak bagus, secara keseluruhannya kami tak bagus,” kata Ee Wei ringkas, mengulas mengenai prestasi dia dan Tang Jie di gelanggang 1 Axiata Arena.

Dalam pada itu, Tang Jie berasa bahawa gandingan Jepun bijak menyesuaikan corak permainan mereka dan beraksi lebih baik, “Mereka gandingan yang baik dan sememangnya kami kecewa dengan prestasi ini.”

Berbeza… prestasi dipamer pada pusingan pertama jauh lebih baik berbanding ketika tewas kepada Hiroki Midorikawa-Natsu Saito (Jepun).

Tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei menewaskan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di pusingan pertama, mengejutkan pasangan Indonesia Rehan Naufal Kusharianto-Lisa Ayu Kusumawati di pusingan kedua sebelum akur dengan kehebatan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di suku akhir.

Berdasarkan perancangan awal, Tang Jie-Ee Wei akan beraksi di Terbuka india minggu hadapan disusuli Thailand Master pada hujung bulan ini.