HARAPAN negara untuk menyaksikan sekurang-kurangnya satu wakil dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila gandingan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin- Teo Ee Yie terkandas di peringkat suku akhir setelah tumpas 21-14 16-21 17-21 kepada beregu Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian dalam pertarungan yang memakan masa sejam lima belas minit untuk ditamatkan.
Menurut Teo Ee Yie, gandingan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian lebih bersabar dan konsisten dalam permainannya bermula set kedua.
Tambahnya, mereka tetap menggunakan corak taktikal yang sama dalam set kedua manakala gandingan Indonesia tersebut menukar rentak perlawanan sekaligus menyebabkan mereka tidak mampu menyaingi perubahan rentak permainan lawan mereka.
“Mereka lebih bersabar, lebih konsisten. Perlawanan pertama kita lebih defensive tetapi ia adalah sebahagian daripada gameplay.
“Set kedua kita menggunakan gameplay yang sama, tetapi mereka tukar… mungkin kita perlu lebih kebal selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Ong Yew Sin mengakui mereka bermain secara menyerang namun kadangkala agak bertahan disebabkan gameplay yang diterapkan jurulatih mereka.
Bagaimanapun, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa mereka gagal untuk mengekalkan konsistensi dalam dua set berikutnya apabila tunduk di set kedua dan ketiga.
“Saya rasa secara keseluruhan kita bermain secara agresif. Walaupun kita agak bertahan, tetapi itu adalah gameplay kami.
“Set pertama menjadi tetapi set kedua dan ketiga agak kurang sedikit, kita mungkin harus lebih konsisten,” jelasnya.
Biarpun begitu, gandingan tersebut juga mengimpikan untuk beraksi di perlawanan separuh akhir Terbuka Malaysia dan menghargai sokongan peminat yang sanggup hadir menyaksikan perjuangan mereka namun apakan daya keputusan tidak memihak kepada pasangan beregu lelaki negara.
“Saya rasa kita harus berterima kasih kepada mereka (penyokong) kerana kita harapkan satu gandingan terakhir. Kita pun harap kita boleh masuk. Bukan penyokong sahaja, semua mengharapkan kita boleh pergi ke separuh akhir,” jelas Yew Sin.
Kekalahan pada Terbuka Malaysia kali ini turut menyaksikan rekod head to head berubah kepada 7-3 memihak kepada gandingan ranking No.1 dunia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian.