LEE Zii Jia lolos ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand dan akan bertemu lawan setarafnya, apabila dijadual menentang pemain China, Lu Guang Zu esok.
Juara edisi 2022 itu menepati ramalan apabila mengesahkan tempat ke pusingan lapan terbaik, selepas mengalahkan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 22-20, 21-7 pada aksi pusingan kedua di Stadium Nimibutr di Bangkok.
Pemain ranking ke-10 dunia itu berharap dapat mengekalkan momentum apabila bertemu Guang Zu yang menghuni ranking ke-19 dunia bagi dalam misinya untuk merangkul gelaran kedua di Terbuka Thailand.
“Set pertama memang sukar tetapi pada set kedua saya lebih bersedia dan berjaya menampilkan permainan sebenar. Saya gembira dapat memenangi perlawanan hari ini (Hyeok Jin).
“Saya masih lagi mencari rentak permainan terbaik saya, diharapkan lima kejohanan seterusnya selepas ini saya dapat menemuinya,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Berdasarkan rekod pertemuan dengan Guang Zu, kelebihan memihak kepada Zii Jia yang menang empat daripada enam perlawanan sebelum ini.

Lee Zii Jia, belum menerima rentak permainan sebenarnya.
Bagaimanapun, Zii Jia tewas pada pertemuan terakhir di tangan lawannya itu di Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang tersingkir di pusingan kedua.
Jun Hao yang berada di ranking ke-37 dunia hampir mencipta kejutan ke atas juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vittidsarn, sebelum tewas dalam pertarungan tiga set 22-20, 14-21, 23-21.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Jun Hao gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu ketika mara ke suku akhir.
Dua beregu campuran negara, Yap Roy King-Valeree Siow dan Choong Hon Jian-Go Pei Kee turut terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.
Roy King-Valaree tunduk di tangan pilihan pertama kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 11-21, 16-21 manakala Hon Jian-Pei Kee tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 15-21, 15-21.