PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin sah meninggalkan Eropah dan kembali ke Asia apabila bergabung dengan pasukan Liga Divisyen 3 Jepun, Yokohama SCC bagi musim 2024-25.

Kehadiran pemain berusia 22 tahun itu disahkan sendiri kelab itu menerusi hantaran di media sosial rasmi yang menyaksikan Luqman bakal memperkuatkan pasukan itu.

Yokohama SCC adalah laluan buat para pemain muda untuk naik ke skuad utama Yokohama F. Marinos dan kehadiran Luqman ke sini dijangka dapat mengembalikan semula sentuhan cemerlangnya selepas agak tenggelam ketika berkelana ke Eropah.

Di Eropah, Luqman menyertai KV Kortrijk di Belgium sebelum bersama kelab Divisyen Satu Iceland, Njardvik FC namun kontraknya terpaksa ditamatkan lebih awal kerana dia hanya beraksi beberapa perlawanan sahaja dan sering diletakkan di bangku simpanan.

Penghijrahan ke Jepun ini diharap dapat melonjakkan kembali prestasinya untuk terpilih dalam skuad B-23 tahun kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Asia B-23 tahun yang akan berlangsung pada April di Qatar.

Luqman mempunyai 11 kaps bersama skuad muda kebangsaan dan berjaya menjaringkan tiga gol selain berjaya muncul naib juara kejohanan Piala AFF B-19 tahun pada 2019.