PELUANG terakhir Selangor FC untuk menempah tiket ke saingan bola sepak Asia tahun hadapan kini bergantung kepada aksi mereka di Piala Malaysia dan Terengganu FC sedia untuk meranapkan impian itu apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pada Sabtu.

Meskipun Selangor dilihat mempunyai kelebihan apabila berjaya menewaskan Terengganu 5-1 dalam aksi Liga Super sebelum ini, namun pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe tidak mahu melihat itu sebagai kelebihan sebaliknya mahu anak-anak buahnya berwaspada dengan kebangkitan Terengganu.

“Rekod lama itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana Terengganu kini berada pada prestasi terbaik apabila tidak tewas dalam banyak perlawanan dan saya mahu para pemain saya lebih berwaspada apabila berhadapan mereka,” katanya.

Selangor juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran semula Faisal Halim dalam pasukan selepas digantung selama sebulan dan dia membuktikan penggantungan itu tidak memberi kesan besar kepada aksinya apabila berjaya meledak jaringan buat Harimau Malaya ketika menentang China.

“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah, saya dapat menjaringkan gol dalam perlawanan menentang China yang saya dedikasikan untuk rakyat Malaysia dan selepas ini akan meneruskan perjuangan di Liga Malaysia pula,” kata Faisal.

Sementara itu di kem Terengganu, semua pemain berada dalam kedaaan yang baik termasuk pemain yang baru pulang dari tugasan skuad kebangsaan dan Terengganu juga akan menggunakan aksi Piala Malaysia ini sebagai persediaan menghadapi Piala AFC pada Rabu.

Terengganu dalam rekod yang cukup baik dengan sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan dan empat kemenangan berturut-turut sudah pasti akan memberikan semangat tambahan buat anak-anak buah Tomislav Steinbruckner.

Selain itu, barisan serangan skuad Penyu juga sangat efektif dengan 21 gol dijaringkan dalam empat perlawanan terakhir dan hanya dibolosi sekali sekaligus memperlihatkan kebangkitan dramatik Terengganu kebelakangan ini.

Pastinya aksi menarik bakal disajikan kedua-dua pasukan dengan Selangor sudah pasti mahu membawa pulang kelebihan yang selesa ke Petaling Jaya manakala Terengganu pasti mahu menggunakan kesempatan bermain di tempat sendiri untuk mencipta kemenangan bermakna buat para penyokong.