SELEPAS tamat penggantungan gara-gara terpalit kontroversi, Hanis Nadiah Onn kembali berada dalam senarai skuad hoki wanita kebangsaan dan masih cukup berbisa.

Masih mempunyai sentuhan berbisa, cergas dan berdaya saing, membuatkan ketua jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim menyenaraikannya ke dalam skuad yang akan beraksi di Sukan Asia Hangzhou, bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

Hanis, antara enam pemain senior yang dikekalkan dalam skuad negara bersama-sama Nuraini Abdul Rashid, Raja Norsharina Shabuddin, Julaini Mohamad Din, Wan Norfaiezah Saiuti dan Fatin Shafika Mahd Sukri.

Menurut Nasihin, Hanis dipilih berdasarkan kemampuannya dan dia sudahpun membuktikan masih mempunyai sentuhan untuk menjaringkan gol.

Nasihin anggap penyertaan skuad wanita di Sukan Asia Hangzhou, sebagai ukuran pencapaian di pentas antarabangsa, pada masa hadapan.

“Sepanjang tempoh penggantungan, dia tetap menjalani latihan dengan program yang dia buat sendiri.

“Sekembalinya kami dari Sukan Sea, selepas dua minggu dia mula menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

“Tahap kecergasan dan fizikalnya sangat baik dan kami bawa bersama pasukan ke Australia tempoh hari dan dia membuktikan dia masih ada sentuhan sebagai penjaring gol.

“Malah ketika di Australia itu dia berjaya menjaringkan satu gol untuk skuad negara,” katanya.

Bagi jurulatih itu, kehadiran Hanis dalam skuad negara juga adalah sesuatu yang sangat baik kerana penyerang itu boleh memainkan peranan sebagai salah seorang ‘ketua’ dalam pasukan.

Pada Februari lalu, Hanis digantung daripada menyertai mana-mana aksi antarabangsa termasuk temasya Sukan Sea Kemboja 2023, selepas didapati bersalah memuat naik ciapan di Twitter yang berbaur perkauman berhubung konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari.

Hanis Nadiah Onn kembali memperkuat skuad hoki wanita kebangsaan.-Pix Ihsan Hokita

Meletakkan sasaran untuk menduduki tempat kelima pada saingan edisi ke-19 temasya Sukan Asia Hangzhou ini, Nasihin berkata, temasya ini akan menjadi penanda aras melihat di mana kedudukan barisan pemain negara selepas dua tahun menyepi.

“Ini adalah pasukan yang dibentuk untuk 2026. Saya nak tengok sejauh mana tahap mereka di peringkat antarabangsa.

“Saya juga memutuskan untuk menyenaraikan dua pemain muda yang baru berusia 19 tahun yang akan tampil dengan kap pertama di temasya ini,” katanya, gembira dengan prestasi barisan pemain yang menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membawa pasukan ke peringkat lebih jauh.

Pasukan wanita negara diundi dalam kumpulan A bersama India, Korea, Hong Kong dan Singapura.

Mereka akan turun menentang Hong Kong pada perlawanan pertama 25 September.