PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio mendedikasikan kemenangan Piala Malaysia ini kepada pemilik pasukan, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, barisan kejurulatihan dan juga kepada semua pemain.
Hector menyatakan dia hadir ke JDT dalam keadaan yang sukar kerana pasukan berada pada kedudukan terbaik apabila sentiasa memenangi perlawanan demi perlawanan.
Dia turut mengulas JDT ditekan hebat Selangor pada babak pertama dan terpaksa melakukan beberapa perubahan taktikal pada babak kedua untuk kembali bermain corak permainan yang biasa diperagakan Harimau Selatan.

Hector Bidoglio
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada boss, Tunku Mahkota Johor dan juga kesemua staf pasukan yang banyak membantu saya dan saya juga gembira buat para pemain saya.
“Saya tiba di kelab ini ketika keadaan yang sukar kerana JDT sentiasa memenangi perlawanan dan bukan mudah apabila anda sentiasa menang terutama untuk memotivasikan para pemain.
“Perlawanan akhir memang sentiasa sukar. Pihak lawan tidak memberikan kami banyak ruang dan kami sering kehilangan bola pada babak pertama. Kami berjaya mengubah taktikal pada babak kedua dan akhirnya kami berjaya menjaringkan gol dan bermain permainan kami,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Hector yang memenangi trofi ketiga bersama JDT dalam hanya tiga bulan juga sedar cabaran yang bakal dihadapi musim hadapan lebih sukar kerana kejayaan luar biasa Harimau Selatan musim ini.

Pemain terbaik perlawanan akhir, Fernando Forestieri
“Tahun hadapan pastinya lebih sukar kerana JDT berjaya memenangi empat trofi musim ini. Ianya adalah musim yang menakjubkan buat JDT dan sekarang kami perlu berehat dan memikirkan tentang musim hadapan kerana semua pasukan sudah pasti mahu mengalahkan JDT,” tambahnya.
JDT berjaya melengkapkan misi ‘Quadruple’ apabila menjuarai Piala Malaysia selepas berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Selangor FC pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.