PEMAIN import Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri nyata gembira dengan kejayaan menjuarai Piala Malaysia dan kejuaraan keempat Harimau Selatan dan berterima kasih kepada semua pihak yang menjadikan kejuaraan ini satu kenyataan.
Forestieri juga menyatakan dia gembira berada di JDT yang baginya menjaga kebajikannya di luar padang hingga memudahkannya beraksi dan memberikan segala-galanya di dalam padang.
Penjaring terbanyak Piala FA 2022 itu juga turut berkongsi makna caranya meraikan gol yang ditujukan kepada pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim serta kepada anak lelakinya.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua yang menjadikan kejuaraan ini satu kenyataan kerana semua dari kami bekerja keras dan cuba memperbaiki beberapa perkara yang tidak memuaskan hati kami.
“Terima kasih kepada jurulatih dan juga staf di kelab ini. Kita berjaya memenangi kesemua piala yang dipertandingkan. Ianya adalah tahun yang menakjubkan buat semua pemain yang sudah bekerja keras sejak dari pra-musim. Jurulatih hanya menyatakan arahan apa yang hendak lakukan dan begitu juga kami memahami apa yang jurulatih mahukan.
“Musim ini sangat menakjubkan. Saya gembira di JDT kerana ianya memudahkan kehidupan saya di luar padang. Apabila kebajikan saya dijaga, mudah untuk saya tumpukan perhatian di dalam padang dan kini kami akan mula fokus kepada sesi pra-musim.
“Saya ada pelbagai cara untuk meraikan gol tetapi ada satu cara yang maksudnya hanya diketahui oleh boss, Tunku Mahkota Johor selain pelbagai aksi yang diminta oleh anak lelaki saya apabila saya menjaringkan gol,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
ARTIKEL BERKAITAN: https://www.flashsukan.com.my/jdt-juara-piala-malaysia-2022/
Ditanya apakah JDT mampu bersaing di Liga Juara-Juara AFC selepas ini, Forestieri secara tenang berkata tidak ada yang mustahil tetapi ACL ini adalah kejohanan yang berbeza kelas dan intensiti dalam pemainnya.
“Sudah tentu kami mahu memenangi kesemua piala yang kami sertai kerana kami adalah JDT. Pada aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini, kami berjaya membuktikan kami mampu menang di tempat sendiri dan kini kami perlu bekerja lebih kuat kerana ACL adalah pentas yang sangat berbeza”.
Fernando Forestieri menjaringkan gol kedua JDT sekaligus membantu Harimau Selatan muncul juara menewaskan Selangor FC 2-1 dan dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.