TERENGGANU FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur City FC pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, pada Ahad.

Sedikit perubahan formasi dilakukan Tomislav Steinbruckner dengan meletakkan Adisak Kraison dan Syafik Ismail dalam kesebelasan utama serta Rahadiazli Rahalim di posisi penjaga gawang.

Dua penyerang import TFC, Sony Norde dan Ivan Mamut terus longlai dan gagal memecah kubu skuad The City Boys walaupun mendominasi permainan sepanjang babak pertama di hadapan 11,560 orang penonton.

Begitupun, mujur benteng pertahanan tuan rumah yang begitu kompak berjaya menggagalkan serangan pelawat khususnya daripada Caion dan Patrick Reichelt.

Zhafri Yahya nyaris memecahkan kebuntuan gol namun rembatan derasnya di minit ke-56 diselamatkan Rahadiazli.

Pemain gantian, Haqimi Azim Rosli yang menerima hantaran lintang dari rakan sepasukan miliki peluang keemasan m-62 menggegar jaring tetapi kali ini Rahadiazli lebih bersedia.

10 minit terakhir, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan. TFC sepatutnya ceria di laman sendiri, namun rembatan padu sepakan percuma Mamut pada minit ke-85 sekadar melambung liar serta cubaan jarak dekatnya selepas itu ditolak keluar Kevin Mendoza dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat.

Terengganu kini menghuni di tangga tercorot liga, manakala KL City mengutip dua mata selepas tiga permainan.