Api pemburuan tiket ke Piala Dunia 2026 terus menyala buat Speedy Tigers apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, kempen Kelayakan Piala Dunia 2026, selepas menewaskan China 5-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Ismailia, Mesir, hari ini.
Kejayaan penuh dramatik itu menyaksikan Speedy Tigers menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan di belakang Pakistan yang terdahulu menundukkan Austria 4-2.
Lebih penting, kemenangan ini meletakkan Malaysia hanya selangkah lagi untuk memburu tiket automatik ke Piala Dunia 2026.
Anak buah Sarjit Singh mempamerkan permulaan bertenaga apabila Fitri Saari membuka jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan dengan penuh keyakinan.
Gol awal itu jelas membakar semangat pemain negara untuk terus menguasai permainan namun China menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil jaringan padang Wang Yaqi sebelum Zhao Yulai meletakkan mereka di hadapan menerusi penalti strok pada minit ke-16.
Malaysia bagaimanapun tidak hilang fokus, malah, bangkit dengan semangat juang tinggi apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menyamakan kedudukan 2-2, dua minit sebelum suku kedua berakhir.
Memasuki suku ketiga, Speedy Tigers memperkemaskan corak permainan serta menggandakan asakan dan hasilnya, jaringan ketiga hadir menerusi Faiz Helmi Jali pada minit ke-36 yang menyempurnakan gerakan pukulan sudut penalti.
Fitri Saari sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-43, disusuli ledakan gol padang oleh Faizal Saari m-43, sekali gus memperlihatkan ketajaman serta keberkesanan jentera serangan negara.
China cuba memberi tekanan di penghujung perlawanan dengan dua gol menerusi Zhao Yulai dan Chen Benhai, namun disiplin bertahan dan pengalaman dimiliki barisan negara memastikan kelebihan tipis itu kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan ini mencerminkan kematangan serta karakter sebenar pasukan kebangsaan yang tidak lagi membiarkan lawan bangkit mengikat atau meraih kemenangan pada penghujung perlawanan.
Pengendali Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh memuji kebangkitan ditunjukkan para pemain terutama ketika ketinggalan 1-2 dengan memberi reaksi positif apabila menjaringkan empat gol.
Beliau mengakui, aksi separuh akhir menentang England adalah perlawanan yang sukar namun pasukan tekad memberi aksi terbaik bagi memastikan tiket ke Piala Dunia dibawa pulang.
“Bagi saya pemain bermain dan memanfaatkan peluang dengan baik. Ketika kita ketinggalan 1-2, pemain bangkit dengan menjaringkan empat gol, ia satu perkembangan yang bagus.
“Kita tahu perlawanan ini sangat penting untuk memastikan kita berada di separuh akhir dan memburu tempat ke Piala Dunia. Kita akan melakukan latihan ringan dan proses pemulihan sebelum turun menentang England.
“Kita sedar ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar namun para pemain berjanji akan memberi aksi yang terbaik kerana kita datang ke sini dengan misi layak ke Piala Dunia. Terima kasih semua pihak yang sentiasa beri sokongan,” katanya selepas perlawanan.
Malaysia dijadual bertemu England pada 12.45 tengah malam Sabtu (waktu Malaysia) dalam aksi separuh akhir yang dijangka sengit.
Dengan hanya tiga pasukan terbaik keseluruhan bakal meraih slot automatik ke Piala Dunia 2026, Speedy Tigers kini benar-benar berada di landasan tepat untuk merealisasikan impian besar negara.