JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berseloroh bahawa keputusan sama ada untuk memburu penampilan di Olimpik keenam perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada isterinya terlebih dahulu selepas menjuarai acara keirin Siri Trek Piala Dunia UCI di Perth, Australia, semalam.
Azizulhasni yang kini berusia 38 tahun berkata fokus utamanya ketika ini adalah menamatkan musim terakhir Piala Dunia sebelum mengalihkan perhatian kepada beberapa kejohanan utama lain.
“Saya perlu dapatkan keizinan daripada isteri saya dahulu sebenarnya,” kata Azizulhasni ketika ditanya mengenai kemungkinan beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, pada sesi temubual selepas memenangi perlumbaan keirin.

Datuk Azizulhasni dijulang dua pesaingnya selepas meeangkul pingat emas Siri Piala Dunia Trek UCI si Perth, Australia|FOTO Facebook Azizulhasni Awang
Menurutnya, musim ini dijangka menjadi kempen terakhirnya dalam siri Piala Dunia sebelum memberi tumpuan kepada kejohanan seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
“Selepas itu mungkin saya akan sertai Kejohanan Dunia di Shanghai kerana ia berlangsung dua minggu selepas Sukan Asia,” katanya lagi.
Dalam perlumbaan final keirin di Perth, Azizulhasni mencipta sensasi apabila menewaskan pelumba nombor satu dunia dari Britain, Matthew Richardson untuk merangkul emas.
Azizulhasni berkata pengalaman membantu beliau mengekori rapat roda lawan sebelum melakukan pecutan terakhir bagi memintas Richardson di garisan penamat.

Datuk Azizulhasni mendapat sokongan padu peminat sukan berbasikal di Australia, pingat emas Siri Piala Dunia Trek UCI si Perth, Australia|FOTO UCI
Dalam pada itu, menerusi perkongsian rakaman video di sosial medianya pagi ini, The Pocket Rocketman berkata, kejayaan di Perth itu, begitu bermakna sehingga dia berasakan cukup berpuas hati sekiranya memilih untuk menamatkan karier pada hari ini.
“Kalau saya bersara hari ini pun saya akan rasa sangat gembira kerana ini antara momen terbaik dalam kerjaya saya,” katanya yang memenangi pingat gangsa Olimpik Rio dan perak Olimpik Tokyo.
Azizul menegaskan dia bukan jenis individu yang mudah berpuas hati dan masih mempunyai keinginan besar untuk terus bersaing di pentas tertinggi.
“Saya bukan jenis yang mudah berpuas hati, saya sentiasa ‘lapar’ dan masih ada acara pecut selepas ini, jadi doakan saya berjaya,” katanya, sebelum bersedia menghadapi cabaran acara pecut hari ini.