Kredit Gambar: KBS Malaysia
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu memperluas pembangunan industri sukan negara menerusi pelaksanaan Pelan Industri Sukan Negara (PISN) serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan sukan negara bergerak seiring dengan perubahan teknologi, tanpa mengabaikan aspek kecergasan fizikal dan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan secara positif supaya dapat menyumbang kepada perkembangan sukan, selain memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.
“Kita melihat dunia kian maju dengan begitu pesat, sebab itu kita ingin menggunakan teknologi pada hari ini supaya teknologi itu dapat juga menyehatkan kita.
“Walaupun kita hidup dalam era teknologi, kita mahu memastikan kita tetap mengekalkan kecerdasan dan kecergasan diri secara keseluruhannya,” katanya.
Taufiq berkata, penganjuran acara sukan berskala besar di lokasi ikonik seperti SIC turut membuktikan bahawa industri sukan mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi masyarakat.
Beliau turut menegaskan kepentingan penganjuran HSN di pelbagai peringkat sebagai usaha membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat, selain menjadi platform mencungkil bakat baharu dari peringkat akar umbi.
“Untuk melahirkan atlet yang hebat, kita mesti bermula daripada akar umbi. Mesti bermula daripada bawah, mesti bermula dengan kita memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat dan juga rakyat,” katanya.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melancarkan PISN.
Sambutan HSN 2026 yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober di Bukit Jalil ditangguhkan berikutan keadaan jerebu. Bagaimanapun, perubahan tarikh itu tidak menjejaskan sambutan apabila orang ramai mula membanjiri SIC seawal 5 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti, meskipun hujan lebat.
Tema HSN tahun ini ialah “Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI)”, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pengaruh serta potensi teknologi digital dan AI dalam bidang sukan dan rekreasi.