PERANAN seorang jurulatih, hanyalah membantu meningkatkan potensi dalam diri atlet dan tiada “resipi rahsia” dalam membentuk juara.

Demikian menurut ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto yang berjaya memimpin anak didiknya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia beregu campuran Ahad lalu.

Jurulatih asal Indonesia yang pernah dua kali muncul juara dunia bersama Liliyana Natsir (2005 2007) itu berkata, jika seorang pemain itu sudah memiliki potensi dan bakat, ia lebih mudah digilap.

“Tidak ada rahsia… sebenarnya kita (jurulatih) hanya membantu – kalau mereka (pemain) tidak ada potensi, tidak ada karektor yang kuat itu juga susah. Pokok pangkalnya pada mereka (pemain), kita membantu pemain dan jika dikaitkan dengan kejayaan saya, itu satu kebetulan sahaja,” kata Nova, menafikan beliau memiliki rahsia tertentu dalam melahirkan sang juara.

Ketika melatih skuad kebangsaan Indonesia, Nova juga membantu Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir meraih pingat emas Sukan Olimpik Rio, Brazil (2016) dan Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, namun gandingan terbabit sebelumnya sudah meraih satu emas Kejohanan Dunia pada 2013.

Bagaimanapun, Nova mengakui, kejayaan membentuk Tang Jie-Ee Wei menjadi juara dunia adalah titik mula kepada misi besarnya meruntuhkan dominasi China.

“Bagi saya, beregu campuran, China masih nombor satu. Mereka ada tiga atau empat pasangan yang sentiasa mara ke suku akhir kejohanan besar. Kekuatan mereka banyak bergantung kepada pemain wanita.

“Tetapi kejayaan Tang Jie-Ee Wei membuktikan mereka bukan tidak boleh dikalahkan. Hasil kerja keras, kita mampu cabar mereka,” kata Nova.

Justeru, beliau tidak mahu bergantung kepada Tang jie-Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin sahaja malah mahu mengangkat dua pasangan muda Wee Yee Hern-Chan Wen Tse yang muncul juara Siri Antarabangsa Thailand serta Tan Zhi Yang-Nicole Tan yang menjulang Cabaran Antarabangsa Malaysia bulan lalu.