Select Page

Rexy Mainaky optimis skuad negara berpeluang curi slot Piala Sudirman Mei depan

Rexy Mainaky optimis skuad negara berpeluang curi slot Piala Sudirman Mei depan

PENGARAH Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengajak semua pihak mengambil aspek positif daripada penampilan skuad negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC), selepas tersingkir di suku akhir, awal pagi Sabtu.

Kekalahan kepada barisan masa depan China 3-2, menyaksikan skuad kali ini terlepas peluang layak secara automatik ke Piala Sudirman yang akan berlangsung di Suzhou, China, Mei depan.

Begitupun, peluang skuad negara masih ada peluang untuk mencuri satu daripada empat lagi slot yang disediakan menerusi kedudukan ranking pasukan.

Pada kejohanan sedang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, empat pasukan terbaik iaitu pasukan yang layak ke separuh akhir akan beraksi di Piala Sudirman secara automatik.

Skuad negara ada peluang lebih baik di Piala Sudirman nanti jika menjalani latihan bersama selama tempoh satu bulan. -Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.

“Ini adalah persiapan kita yang sebenar sebelum ke Piala Sudirman, kita lihat apa yang perlu ditingkatkan sama ada dari segi semangat berpasukan, persfahaman dan pada perlawnaan ini (menentang China) saya lihat semangat berpasukan dalam dan luar gelanggang amat baik.

“Kita lihat persembahan Wong Ling Ching ketika menentang PV Sindhu (India), dia memberi saingan baik pada set kedua. Pearly (Tan) dan (M) Thinaah, mereka sendiri kecewa apabila tewas ketika menentang India dan bangkit menentang China,” kata Rexy.

Kekalahan kepada India yang menghantar pasukan terkuat kecuali pada beregu lelaki mungkin boleh diterima namun Rexy sendiri mengakui, China tidak menurunkan pasukan sebenar malah pemain yang beraksi awal pagi tadi, dijangka akan menyertai pasukan utama pada masa akan datang.

Lee Zii Jia menghadiahkan mata pertama kepada skuad negara ketika menentang China.

“Saya yakin, jika kita serius, menjalani latihan bersama selama sebulan, kita ada peluang pada saingan Piala Sudirman nanti. Saya tetap gembira dengan prestasi pemain hari ini (menentang China) kerana setiap pemain dapat menunjukkan aksi sebenar.”

Ketika menentang China, Lee Zii Jia memberi mata pertama menewaskan Lei Lan Xi 21-16, 22-20.

Goh Jin Wei bermain dengan sepenuh hati hampir menghadiahkan mata kedua sebelum tunduk 21-15, 13-21, 19-21 kepada Gao Fang Jie.

Goh Jin Wei memungut bulu tangkis sebelum menyedari perlawanan sudah berakhir.

Ironinya, Jin Wei tidak menyedari bahawa lawannya sudah memungut mata kemenangan sehingga dia telah terduduk menyedari perlawanan sudah tamat, menyaksikan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann bangun bertepuk tangan memberi semangat kepadanya.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang turun selepas itu turut gagal menghadiahkan mata apabila tewas 22-24, 18-21 kepada He Ji Ting-Zhou Hao Dong, sebelum Pearly dan Thinaah menjadikan kedudukan 2-2, dengan kemenangan 21-17, 12-21, 21-19 ke atas Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Harapan terakhir disandarkan kepada gandingan berpengalaman, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga tidak menjadi apabila mereka tunduk 15-21, 23-25.

Tidak menjadi… gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak berjaya memberikan mata berharga buat pasukan negara.

Untuk rekod, China sudah layak ke Piala Sudirman sebagai tuan rumah dan juara bertahan, dan empat slot diberikan kepada empat pasukan terbaik pada kejohanan ini, diisi Thailand, Korea Selatan dan India, bermakna satu lagi slot akan diisi sama ada Malaysia, Indonesia, Jepun dan Hong Kong selain melayakkan diri sebagai pasukan yang berada di ranking tertinggi (empat slot).

Sementara itu, empat slot Eropah sudah diisi Denmark, England, Perancis dan Jerman, manakala satu slot untuk pasukan dari benua Afrika sudah diisi Mesir, selain masing-masing satu slot Pan Amerika dan Oceania masih belum diisi.

Piala Sudirman akan berlangsung di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei 2023.

Video Terkini

Loading...