LIGHTNING Bolt mengakui rekod dunianya 100 meter boleh menjadi lebih pantas sekiranya beliau berlari dengan kasut “super-spikes” moden yang digunakan oleh pelari masa kini dan bekas pelari pecut Jamaica itu turut bersetuju dengan kajian Puma yang meramalkan catatan 9.58 saat miliknya berpotensi dipendekkan kepada sekitar 9.42 saat dengan bantuan teknologi terbaru tersebut.
Rekod itu dicipta pada Kejohanan Dunia 2009 di Berlin selepas beliau terlebih dahulu menulis sejarah di Sukan Olimpik Beijing 2008 dengan catatan 9.69 saat dan kini rekod 9.58 saat miliknya sudah bertahan selama 16 tahun menjadikannya antara rekod paling lama kekal dalam acara 100 meter melebihi tempoh 14 tahun yang pernah dipegang Jim Hines.
Walaupun percaya dirinya mampu berlari lebih laju dengan kasut generasi baharu, Bolt tetap berpendapat rekod itu masih selamat buat masa ini. Menurutnya, belum ada pelari yang benar-benar mampu menyaingi tahap kelajuannya, biarpun bakat-bakat baru sedang muncul di pentas dunia.
Bolt menyebut beberapa nama seperti Kishane Thompson dan Oblique Seville yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam pecutan Jamaica, namun beliau percaya mereka masih memerlukan masa untuk benar-benar sampai ke tahap dunia di mana rekod 9.58 saat boleh digugat.
Selain itu, Bolt turut memuji peningkatan prestasi dalam kalangan pelari wanita, termasuk Shelly-Ann Fraser-Pryce, yang mendapat manfaat daripada penggunaan kasut “super-spikes”. Baginya, teknologi baharu ini jelas memberi kelebihan dari sudut kelajuan, daya pecut, dan konsistensi atlet.
Kini pada usia 39 tahun, Bolt sudah pun bersara sejak 2017 tetapi pengaruhnya masih kuat dalam dunia olahraga. Kenyataan terbarunya bukan sahaja mengingatkan betapa hebatnya pencapaian beliau, tetapi juga menimbulkan persoalan sama ada satu hari nanti akan ada pelari yang mampu menumbangkan rekod bersejarah 9.58 saat yang di ciptanya.