Kredit Foto: KDA FC dan Selangor FC

JURULATIH interim Selangor FC, Abdi Hassan mengakui tiga mata yang diperolehi pasukannya ketika menang 1-0 keatas Kedah Darul Aman FC adalah saat penting di kala kelab sedang mengalami saat yang sukar.

Gergasi Merah kehilangan khidmat ketua jurulatih selepas Nidzam Jamil meletakkan jawatan ketika Selangor dilihat sedang berada di landasan yang tepat dalam semua pertandingan yang disertai musim ini.

Gol tunggal perlawanan menerusi Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-47 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Selangor dan Abdi gembira dengan aksi yang ditunjukkan semua pemain.

Jaringan Aliff Izwan Yuslan cukup beri tiga mata buat Gergasi Merah

“Ianya satu perlawanan dan kemenangan yang baik. Dari awal kami melakukan serangan dan mengawal permainan namun tidak dapat menjaringkan gol meskipun kami mencipta banyak peluang.

“Babak kedua kami bermain lebih pantas apabila lawan dilihat keletihan tetapi kami masih gagal menjaringkan gol untuk membunuh permainan lebih awal namun saya gembira dan para pemain berhak mendapatkan tiga mata ini,” katanya.

Abdi turut memuji kehadiran ramai penyokong Selangor di Stadium Darul Aman yang baginya adalah tanda sokongan buat kelab dan dia tidak terburu-buru untuk melihat dirinya sebagai ketua jurulatih sebaliknya selesa dengan jawatan yang disandang kini.

“Ianya minggu yang sukar buat kami dan tugas saya adalah membantu pasukan sebagai jurulatih interim mengikut arahan pengurusan dan terima kasih kepada para penyokong yang datang jauh demi pasukan dan kami hargai sokongan anda dalam tempoh sukar ini,” jelasnya.

Kemenangan ini kembali meletakkan Selangor dalam kedudukan yang lebih selesa di tangga kedua Liga Super meskipun ketinggalan lapan dari pendahulu, Johor Darul Ta’zim tetapi berjaya menjarakkan diri enam mata dari Sabah FC.