PENYOKONG-penyokong bola sepak tempatan terutama penyokong Kuala Lumpur City FC boleh mula membeli tiket perlawanan Kumpulan H Piala AFC bermula hari ini (Jumaat) secara atas talian.

Tiket kombo untuk kesemua tiga perlawanan akan dijual bermula dari RM40 di laman web www.tickethotline.com.my bermula 10 pagi ini manakala tiket fizikal hanya akan dijual di kaunter stadium pada Rabu 22 Jun dari jam 2 hingga 7 petang.

Kuala Lumpur menjadi tuan rumah dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bakal menjadi gelanggang berpusat bagi tiga pasukan iaitu Kuala Lumpur City, Tampines Rovers dari Singapura dan PSM Makassar dari Indonesia.

 

Kuala Lumpur City akan membuka saingan menentang PSM Makassar pada 24 Jun sebelum bertemu Tampines Rovers pada 27 Jun dengan perlawanan terakhir pada 30 Jun bakal menemukan Rovers dan PSM Makassar.

Semua perlawanan akan bermula jam 8 malam dengan juara kumpulan akan layak automatik ke peringkat akhir zon manakala pasukan di tempat kedua perlu menunggu untuk menjadi salah satu dari tiga pasukan tempat kedua terbaik.

Aksi cemerlang diharapkan dari juara Piala Malaysia 2021 itu kerana ianya akan membantu menambahkan mata Members Association (MA) Malaysia yang kita berkedudukan di tempat keempat dalam ranking kelab Asia.