Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain skuad Harimau Malaya tidak memberi kesan terhadap pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan pembangunan bola sepak negara, khususnya di peringkat akar umbi akan terus diperkasakan walaupun keputusan tersebut menimbulkan polemik dalam arena bola sepak tempatan.
Menurutnya, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada isu yang berlaku namun pada masa sama tidak harus patah semangat untuk terus menyokong usaha memajukan sukan bola sepak negara.
“Apa yang lebih penting ialah kita mengambil iktibar daripada perkara ini dan memastikan pembangunan bola sepak negara terus bergerak ke hadapan terutama di peringkat akar umbi.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai pemain dan atlet bola sepak yang berkualiti dalam kalangan masyarakat. Sebab itu usaha memperkukuhkan NFDP akan terus dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.
Tambah beliau, pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) akan terus memantau perkembangan berkaitan kes tersebut serta mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa, namun tetap menghormati keputusan yang telah dibuat oleh CAS.
Terdahulu, CAS menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain terlibat iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado.
Keputusan itu mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM serta penggantungan selama 12 bulan kepada tujuh pemain berkenaan.
Susulan kes tersebut, FAM juga dijangka berdepan tindakan lanjut daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), khususnya berkaitan penyertaan skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan AFC Asian Cup 2027.