MALAYSIAN Football League (MFL) mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan yang beraksi dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dibuat mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia musim 2025-2026.
Empat pemain terbabit ialah trio Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero.
Menurut MFL, proses pendaftaran pemain berkenaan dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Peraturan Pertandingan Artikel 3 yang membabitkan Sistem Pendaftaran dan Perpindahan Pegawai serta Pemain.
Peraturan itu turut merujuk kepada penggunaan Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA Connect) yang menetapkan dokumen tertentu perlu dikemukakan bagi tujuan pendaftaran pemain.
Antara dokumen wajib yang perlu diserahkan bagi pemain tempatan dan pemain asing adalah salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna.
Perkara tersebut turut dijelaskan menerusi surat pekeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025 yang memperincikan dokumen yang perlu dimuat naik dalam format PDF bagi tujuan kelulusan pendaftaran pemain.
MFL menjelaskan keempat-empat pemain berkenaan telah melalui proses pendaftaran lengkap dengan menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sehubungan itu, badan pengendali Liga Malaysia berkenaan mengesahkan tiada sebarang pelanggaran peraturan berlaku dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab masing-masing bagi musim ini.
Bagaimanapun, MFL memaklumkan status pendaftaran tersebut tidak menjejaskan keputusan penggantungan yang dikenakan terhadap pemain berkenaan.
Empat pemain itu masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan daripada menyertai perlawanan rasmi seperti yang diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum ini.