PENGENDALI Chinese Taipei, Gary White mengakui Malaysia di bawah kendalian Kim Pan-gon telah menjadi pasukan yang lebih baik dengan kehadiran lebih ramai pemain warisan untuk memperkukuhkan pasukan selain kualiti Liga Malaysia itu sendiri yang memainkan peranan.
Meskipun mengakui kekuatan Harimau Malaya, namun pengendali Inggeris itu nyata kesal kerana mereka memberikan kemenangan kepada Malaysia hasil kesilapan individu yang menyaksikan tiga mata penuh berjaya di bawa pulang.
Sama seperti ketika sesi sidang media pra perlawanan, Gary memuji dua pemain sayap muda negara, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang seperti dijangka berjaya menjadi duri dalam daging buat Chinese Taipei.

“Tahniah kepada Malaysia kerana mendapat tiga mata. Kami dihukum kesilapan individu dan Malaysia mungkin rasa mereka bernasib baik pulang dengan tiga mata tetapi Kim Pan-gon menjalankan tugas dengan baik untuk membina satu skuad yang terbaik dengan pemain yang berpengalaman.
“Pemain nombor 12 (Arif Aiman) dan 7 (Faisal Halim) adalah pemain yang hebat, pantas dan bergerak dengan cepat. Mereka memanipulasi ruang sebelah kanan dari awal dibantu pemain nombor 2 (Matt Davies), jadi apa yang kami buat adalah pastikan kami kekal dalam formasi namun kesilapan individu membenarkan mereka menjaringkan gol,” katanya menjawab soalan FLASH SUKAN ketika sesi sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih Inggeris itu turut mengakui kejayaan Malaysia mencari bakat-bakat warisan dari seluruh dunia serta berjaya membawa kesemua pemain terbaik untuk kempen kelayakan ini harus diberikan pujian dan menjadi contoh buat Chinese Taipei.

“Semua pemain yang dibawa dari seluruh dunia memainkan peranan penting perubahan bola sepak Malaysia. Anda jalankan tugasan ‘recruiting‘ dengan baik selain liga anda juga baik untuk pemain-pemain ini bermain dan kami perlu lakukan sesuatu tentang perkara ini.
“Malaysia membawa semua pemain terbaik untuk kempen kelayakan ini berbeza dengan kami. Tahniah kepada persatuan anda kerana melakukan perkara yang betul dan anda raih kebaikannya kini,” jelasnya.
Gol tunggal Darren Lok pada minit ke-72 sudah cukup untuk memberikan kekalahan kedua untuk Chinese Taipei dalam kempen Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 namun keputusan satu lagi perlawanan lain dalam Kumpulan D ini menyaksikan peluang Chinese Taipei masih terbuka.