PEMAIN sayap Harimau Malaya, G. Pavithran menyedari Malaysia perlu memberikan lebih daripada kemampuan biasa untuk mencipta kejutan ke atas juara bertahan Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup™ 2026, Ahad ini.
Pemain berusia 21 tahun itu mengakui Vietnam hadir sebagai pilihan untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut, namun menegaskan Malaysia tidak akan mudah mengalah ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Menurut Pavithran, skuad negara perlu bekerja keras dan memberikan komitmen penuh sekiranya mahu menumbangkan pasukan Golden Star Warriors yang dianggap antara pasukan terkuat di rantau ini.
“Untuk bermain menentang Vietnam, kami perlu bekerja keras dan memberikan segala-galanya. Jika kami tidak memberikan 100 peratus atau mengambil mudah perlawanan ini, tiada peluang untuk menang.
“Mereka adalah pasukan yang sangat kuat. Jika mereka memberikan 100 peratus, kami perlu memberikan 200 peratus untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
Pavithran muncul antara pemain yang menyerlah pada kejohanan kali ini apabila memenangi dua anugerah Hyundai Player of the Match, selain menjaringkan gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Filipina 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B minggu lalu.
Pemain sayap itu menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai hasil kerja berpasukan, selain mengakui sokongan keluarga, penyokong, rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan menjadi pendorong utama kepada prestasinya.
“Saya sangat gembira mendapat anugerah tersebut, terutama apabila keluarga dan penyokong berada di sana memberikan sokongan. Tetapi semua ini tidak akan berlaku tanpa rakan sepasukan dan jurulatih. Mereka yang memberikan motivasi kepada saya,” katanya.
Malaysia bagaimanapun berdepan cabaran besar apabila Vietnam memenangi lima daripada enam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan dalam kejohanan ini, selain menjaringkan 13 gol pada peringkat kumpulan — jumlah tertinggi berbanding pasukan lain.
Pavithran percaya skuad negara tidak boleh gentar dengan reputasi lawan dan mahu menggunakan keyakinan yang diterapkan pengendali interim, Tan Cheng Hoe, untuk mempamerkan permainan terbaiknya.
“Perkataan yang paling kerap digunakan olehnya ialah ‘yakin’. Dia selalu memberitahu saya, ‘Jika kamu yakin dengan bola, kamu akan dapat permainan kamu’.
“Apabila saya yakin, saya boleh melakukan gerakan menggelecek dan bermain pada tahap sebenar saya. Saya hanya fokus kepada kekuatan sendiri dan itu menjadikan permainan saya lebih lancar,” katanya.
Malaysia akan menerima kunjungan Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad ini sebelum kedua-dua pasukan bertemu semula pada aksi timbal balik di Hanoi, Rabu depan.