PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, sekali lagi terpaksa melupakan aksi di pentas antarabangsa apabila menarik diri daripada Kumamoto Masters 2025 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 November ini.

Keputusan itu dibuat selepas kecederaan belakang yang membelenggunya sejak September lalu, masih belum pulih sepenuhnya, sekali gus memaksa pemain berusia 26 tahun itu menangguhkan kemunculannya di Jelajah Dunia.

Zii Jia sebelum ini dijangka membuat penampilan semula di Jepun selepas namanya disenaraikan dalam senarai rasmi pemain, namun semakan terkini di laman kejohanan pagi tadi mengesahkan beliau kini berada dalam senarai penarikan diri (withdrawal list).

Turut menarik diri daripada saingan perseorangan lelaki ialah beberapa nama besar dunia seperti pemain No. 2 dunia, Anders Antonsen, juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen, dan bintang Indonesia, Jonatan Christie.

Kali terakhir Zii Jia beraksi adalah pada Masters China September lalu, namun beliau menyerah kalah (walkover) kepada pemain Taiwan, Lin Chun Yi pada pusingan pertama berikutan kecederaan belakang yang dialami.

Sejak itu, bekas juara Asia itu memilih untuk tidak beraksi dalam empat kejohanan berturut-turut di Eropah – Terbuka Arctic, Denmark, Perancis dan Hylo, bagi memberi fokus kepada proses pemulihan.

Dengan ketiadaan Zii Jia di Jepun, Leong Jun Hao (ranking ke-22 dunia) dan Justin Hoh (ranking ke-36 dunia) kini menjadi sandaran utama Malaysia untuk membawa cabaran negara dalam kejohanan bertaraf Super 500 itu.