PERANAN media yang sentiasa berhujan berpanas tanpa mengira masa memberi liputan perkembangan sesuatu entiti sukan mendapat perhatian gergasi sukan berbasikal Asia; Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) untuk menghargai segala jasa-jasa mereka selama ini.
Pada majlis makan malam bersama media di Kuala Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif TSG Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood (gambar) merakamkan penghargaan setinggi-tinggi terima kasih kepada pengamal-pengamal media sukan yang selama ini secara langsung atau tidak langsung membantu pasukan berbasikal ini menjadi satu jenama yang kian dikenali di pentas dunia. Transformasi dari sebuah pasukan berbasikal kerdil kepada satu jenama bertaraf antarabangsa menjadi satu penanda aras terbaik buat pasukan yang berpangkalan di Terengganu ini.
Jelasnya lagi setiap liputan sama ada bersifat positif mahupun kritikan yang disampaikan melalui pelbagai jenis platform media masa kini sememangnya sentiasa diambil perhatian untuk penambahbaikan demi masa depan TSG untuk terus berdaya saing di pentas antarabangsa. Malah di pihak pengurusan TSG itu sendiri sentiasa bersifat terbuka untuk membantu rakan media bagi setiap maklumat yang diperlukan.
“TSG merupakan sebuah entiti sukan atau lebih tepat sebuah pasukan berbasikal yang dijana melalui penajaan sama ada oleh pihak kerajaan negeri mahupun sektor-sektor korporat seperti mana sedia maklum.

Barisan pengurusan tertinggi Terengganu Polygon Cycling Team(TSG) bersama-sama rakan-rakan media yang diraikan dalam satu majlis makan malam yang telah berlangsung di Hotel Primula, Kuala Terengganu pada Ahad.
“Melalui penajaan yang diterima ini, selain untuk keperluan perbelanjaan pasukan bagi perlumbaan-perlumbaan berprestif di peringkat antarabangsa ianya juga secara tidak langsung untuk kami di TSG menunaikan tanggungjawab bagi menghargai rakan-rakan media yang sentiasa menyokong kami.
“Media memain peranan besar sejak dari awal dalam penjenamaan TSG sehingga dikenali di peringkat antarabangsa sekaligus membantu kami secara untuk menyakinkan barisan-barisan penaja setiap musim untuk bersama TSG.” ujar Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood kepada FLASH SUKAN.
Untuk rekod sehingga 31 Julai 2022, sebanyak 1009.75 mata perlumbaan berjaya dikutip sekaligus meletakkan TSG kekal untuk mendahului tangga kedudukan Jelajah Asia. Jurang yang besar meletakkan pasukan Almaty Cycling Team dari Kazakhstan untuk 558.5 kutipan mata di tangga kedua kedudukan dan Tashken City Profesional Cyling Team dari Uzbekistan di tangga ketiga siri Jelajah Asia musim ini.
Menambah menarik, perkembangan terkini ini meletakkan TSG di tangga ke-32 pasukan berbasikal terbaik dunia sekaligus berada di dalam kelompok terbaik bersama pasukan-pasukan yang beraksi di pentas sukan berbasikal dunia (UCI) yang lebih tinggi.