SATU tiket ke separuh akhir Seluruh England sudah berada dalam genggaman pemain negara apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun dijadual menentang Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada pusingan suku akhir, kira-kira jam 8 malam ini.
Wei Chong-Kai Wun menjinakkan wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dalam pertarungan straight set, manakala Aaron-Wooi Yik diberi tentangan sengit rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King dalam aksi lebih satu jam.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun kali pertama ke suku akhir Seluruh England.
Wei Chong-Kai Wun menempah slot ke suku akhir dengan bergaya apabila pasangan ranking keenam dunia itu hanya mengambil masa 33 minit, untuk mengatasi Hsiang Chieh-Chi Lin menerusi kemenangan 21-14, 21-18.
“Saya rasa faktor kemenangan adalah kerana sejak tiga tahun lepas kami sering kalah di pusingan pertama. Kali ini, saya masih ada sedikit kecederaan, jadi kami bermain tanpa tekanan, hanya cuba buat yang terbaik untuk menang,” kata Wei Chong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Selepas mengatasi beregu muda, Arif Junaidi-Yap Roy King, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan satu lagi cabaran dari rakan sepelatih, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, malam ini.
Sementara beregu nombor dua dunia, Aaron-Wooi Yik dipaksa beraksi lebih lama, 63 minit ketika menundukkan Arif-Roy King 21-15, 18-21, 21-18.
Hasrat untuk melihat lebih ramai wakil negara di suku akjot tidak kesampaian apabila gandingan muda, Aaron Tai-Kang Khai Xing, dan bekas pasangan nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tersingkir dari kejohanan.

Aaron Tai-Kang Khai Xing gagal meneruskan kecemerlangan di Seluruh England, namun prestasi pasangan berusia 19 tahun itu cukup memberikan impak.

Arif-Roy King terpaksa akur akan pengalaman dimiliki Aaron-Wooi Yik.

Sze Fei-Nur Izzuddin perlu kembali bangkit untuk terus kekal dalam kelompok Top 10 dunia.
Aaron-Khai Xing kalah kepada lawan dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi, 19-21, 17-21 manakala Sze Fei-Nurizzuddin kalah kepada pasangan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat 21-23, 16-21.
Turut tersingkir, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang tunduk mudah kepada Koki Watanabe (Jepun) 9-21, 13-21 dalam tempoh 37 minit.