MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi peringatan tegas kepada atlet agar tidak terburu-buru meninggalkan sistem sokongan sedia ada demi mengejar peluang sebagai pemain profesional, tanpa menilai implikasi jangka panjang.

Merujuk kepada situasi semasa beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang dikatakan mahu memilih haluan profesional, Hannah menekankan pentingnya kesinambungan dalam pembangunan atlet dan sokongan sesama atlet dalam ekosistem sukan negara.

“Dulu semua atlet di bawah BAM, dan apa-apa hasil kemenangan akan dikumpul semula dalam satu pool untuk membangunkan bakat muda. Sekarang ini, bila ada atlet profesional yang menang dan dapat pendapatan tambahan, saya galakkan mereka sumbangkan sedikit untuk bantu atlet muda. Kita nak ada kesinambungan — atlet bantu atlet,” katanya, ketika ditemui selepas menyampaikan insentif kepada murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Segambut di Kuala Lumpur, hari ini.

Hannah Yeoh menegaskan kepada atlet agar tidak terburu-buru meninggalkan sistem sokongan sedia ada.

Pada majlis itu, seramai 50 orang murid menerima insentif RM100 setiap seorang hasil sumbangan Kelab Sukan JETS atas kecemerlangan mereka dalam bidang sukan masing-masing.

Hannah turut melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan syarikat-syarikat swasta yang memujuk atlet untuk keluar lebih awal dari persatuan dan menyertai arena profesional tanpa jaminan masa depan yang stabil.

“Kita pernah lihat apa jadi bila seseorang atlet keluar, tapi tak ada penaja. Bila rezeki tak panjang, terus terumbang-ambing. Pesanan saya kepada atlet — jangan ambil shortcut. Kadang-kadang shortcut itu nampak lumayan, tapi belum tentu berkekalan,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa tidak semua atlet profesional mampu mencapai kejayaan seperti Lee Zii Jia, dan tidak semua akan mendapat sokongan atau infrastruktur yang sama kukuh seperti dalam Persafuan Badminton Malaysia (BAM).

Hannah Yeoh menyampaikan insentif kepada murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Segambut.

“Kalau ranking jatuh, BAM masih jaga atlet. Tapi bila jadi pro, bila ranking jatuh atau tak perform, mereka ditinggalkan. Susah nak cari sponsor, kena usaha sendiri,” katanya.

Dalam masa yang sama, Hannah menyeru agar syarikat-syarikat korporat yang menjanjikan sokongan kepada atlet profesional menunaikan janji mereka.

“Saya tak mahu situasi di mana janji diberi, tapi bila atlet dah menang, mereka ditinggalkan begitu saja. Itu tidak adil dan akan merosakkan masa depan atlet,” tegas beliau.

Pearly Tan-M. Thinaah dikatakan mahu memilih haluan profesional

Nasihat beliau ditujukan khas kepada atlet muda yang sedang menimbang untuk menjadi profesional: “Fikir dahulu sebelum buat keputusan. Jangan ikut orang lain semata-mata. Pastikan anda bersedia dan ada pelan jangka panjang.”

Isu ini dijangka terus menjadi tumpuan menjelang kejohanan utama dunia tahun ini, termasuk Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia BWF Paris 2025.