Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa terdapat pihak dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak berpuas hati dengannya sejak dahulu kerana tidak dapat mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan melalui bola sepak negara.
Menerusi satu hantaran di platform X, baginda mendakwa terdapat individu tertentu yang pernah datang meminta bantuan bagi mendapatkan projek serta cuba mengelak daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut baginda, ada juga pihak yang tidak berpuas hati apabila kerajaan menyalurkan dana untuk membantu pasukan kebangsaan kerana mereka tidak terlibat secara langsung dalam proses tersebut.
Baginda turut mendakwa terdapat usaha secara senyap oleh beberapa individu untuk menjalankan kempen bagi menjatuhkan reputasinya dengan mendapatkan sokongan daripada kumpulan penyokong, media serta pihak tertentu di media sosial.
Dalam masa sama, Tunku Ismail menjelaskan bahawa kes yang melibatkan tujuh pemain warisan negara sebenarnya berkaitan isu pemalsuan dokumen dan bukannya soal kelayakan kerakyatan.
Menurut baginda, persoalan utama adalah mengenai siapa yang melakukan kesilapan dalam proses penyerahan dokumen kepada pihak berkuasa bola sepak antarabangsa.
Baginda turut mempersoalkan mengapa dokumen sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara tidak dihantar serta mengapa pemain akhirnya dipersalahkan dalam isu tersebut.
Tambah baginda, ketika prosiding di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), pihak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga dikatakan tidak dapat mengemukakan bukti yang menunjukkan pemain terlibat secara langsung atau bersubahat dalam kes tersebut.
Sehubungan itu, baginda menegaskan bahawa individu dalam organisasi yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan perlu tampil memikul tanggungjawab dan bukannya meletakkan kesalahan kepada pemain atau menjadikannya sebagai kambing hitam.
