SENARAI pemain skuad sepak takraw kebangsaan yang diumumkan sebelum ini dijangka kekal sebagai teras utama bagi menghadapi cabaran di Sukan Asia selepas mendapat persetujuan bersama antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata setakat ini tiada sebarang perubahan dirancang terhadap senarai pemain berkenaan kerana pemilihan dilakukan sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan kebangsaan berdasarkan penilaian prestasi semasa pemain.

Menurutnya, pihak persatuan memberi kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih dan pasukan kejurulatihan untuk menentukan pemain terbaik yang mampu menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.

“Setakat ini tidak ada perubahan terhadap senarai pemain untuk Sukan Asia. Kita di peringkat PSM tidak campur tangan dalam pemilihan kerana cadangan datang daripada ketua jurulatih dan barisan jurulatih.

“Kita hanya memberi pandangan, namun akhirnya mandat sepenuhnya diberikan kepada jurulatih untuk menentukan pemain,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan pemain turut mengambil kira aspek taktikal termasuk keupayaan seseorang pemain untuk beraksi dalam lebih daripada satu acara sepanjang temasya berlangsung.

Katanya, situasi itu penting memandangkan sesetengah kejohanan seperti Sukan Asia menetapkan had jumlah pemain yang boleh disenaraikan dalam skuad.

“Dalam satu-satu temasya seperti Sukan Asia, jumlah pemain yang boleh dibawa adalah terhad. Jadi ada pemain yang mungkin perlu bermain dalam acara regu dan juga kuadran.

“Sebab itu jurulatih perlu memilih pemain yang sesuai mengikut karakter dan posisi masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sumali turut memaklumkan isu pelepasan pemain yang sebelum ini melibatkan beberapa atlet kini sudah diselesaikan.

Menurutnya, situasi itu membolehkan semua pemain memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi kejohanan utama sepanjang musim ini.

Terdahulu, PSM turut mengadakan majlis penyerahan insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM19,500 kepada pemain skuad kebangsaan susulan kejayaan mereka pada Kejohanan Piala Asia 2025.

Pada majlis sama, pemain yang membantu skuad lelaki meraih kejayaan dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 2025 turut menerima insentif kemenangan sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Selain itu, semua pemain dan jurulatih skuad kebangsaan turut menerima sumbangan duit raya sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.