PERSIAPAN skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan pembukaan Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 menentang Kemboja dicemari insiden yang menimbulkan tanda tanya apabila Ketua jurulatih Pau Marti mendedahkan pasukannya menghadapi gangguan drone semasa sesi latihan pertama di Phnom Penh, semalam.

Menurut Marti, kehadiran drone yang dirakamkan di kawasan latihan mereka sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran persiapan pasukan.

Walaupun menganggap insiden itu mungkin kebetulan, beliau tidak menolak rasa kecewa jika benar ia disengajakan.

“Kami menggunakan drone untuk merekodkan sesi latihan, tetapi kehadiran drone lain di kawasan tersebut agak mengecewakan.

“Saya tidak fikir ia datang daripada pihak lawan, tetapi jika benar, ia sangat tidak wajar. Namun, kami tetap fokus dengan apa yang kami lakukan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan pada Sabtu.

Sesi latihan Harimau Malaya diganggu di Kemboja, pada Jumaat malam.

Skuad negara tiba di Phnom Penh selepas perjalanan panjang yang bermula seawal 5.30 pagi semalam. Walaupun berdepan cabaran kecil, termasuk isu di padang latihan, Marti memuji kesungguhan pemain yang tetap menunjukkan komitmen tinggi semasa sesi pertama mereka.

“Padang di sini tidak terlalu teruk, cuaca juga baik. Pemain melakukan tugas dengan sangat baik walaupun menghadapi hari yang panjang.

“Hari ini, kami akan menjalani satu lagi sesi latihan sebelum perlawanan esok,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai kesan emosional keputusan untuk meninggalkan Harimau Malaya selepas kejohanan Piala AMEC 2024, Marti optimis bahawa pemainnya tetap fokus terhadap misi pasukan.

Pau Marti bermasa Harimau Malaya sejak 2022 dan mahu akhiri kejohanan ini dengan kemenangan.

“Saya harap ia tidak memberi kesan kepada moral pasukan. Pemain kita, walaupun ramai yang muda, mereka sudah mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin mereka cukup profesional untuk memberi sepenuh tumpuan kepada kejohanan ini,” jelasnya.

Harimau Malaya akan membuka kempen Piala AMEC 2024 menentang Kemboja esok petang, dan Pau Marti bertekad memastikan pasukan negara memulakan saingan dengan langkah kanan meskipun berdepan pelbagai cabaran di luar padang.