PENGARAH Kejurulatihan (Perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann memberitahu Ng Tze Yong bakal diletakkan harapan untuk menggalas tugas getir pasukan negara di Sukan Komanwel 2020 Birmingham akhir Julai ini.
Ia susulan penarikan diri jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia yang membuat keputusan mengejut untuk tidak beraksi pada kejohanan tersebut.
Mengikut ranking dan prestasi semasa, Ng Tze Yong dilihat jauh ketinggalan dari segi corak permainan dan skill ketika berada di gelanggang namun percaya bahawa dia perlu diberi peluang untuk membuktikan prestasi sebenarnya di pentas kedua tertinggi dunia.
“Saya rasa Tze Yong, sasaran peribadi bukanlah pencabar sebenar untuk meraih pingat emas, tetapi peluang ini akan muncul untuk dia di saat terakhir.
“Memang kita seperti biasa mempersiapkan dia untuk apa-apa pertandingan dan Sukan Komanwel sebagai satu bonus baginya.
“Kita harap dia dapat mengambil kesempatan mempamerkan permainan yang bagus dan mencipta kejutan untuk negara, ” ujar bekas jaguh perseorangan itu.
Bekas perseorangan negara ini tidak menolak akan adanya unsur tekanan yang tinggi terhadap Tze Yong namun tetap optimis dia mampu memberi persembahan terbaiknya dalam kejohanan kedua terbesar dunia itu.
Desas desus mengenai kemungkinan Tan Kian Meng akan beraksi semula sebagai pemain perseorangan, Choong Hann menyangkal spekulasi tersebut dengan menganggap pemain tersebut akan tetap beraksi dalam acara beregu campuran seperti sediakala.
“Kalau awak tanya dia, mesti dia beritahu adanya tekanan, kerana untuk perseorangan lelaki memang mensasarkan pingat emas untuk pasukan Malaysia, tapi kita akan hantar Tze Yong untuk cuba memberikan terbaik dalam perseorangan lelaki.
“Saya rasa Tan Kian Meng, dia disasarkan untuk pingat emas dan keputusan terbaik untuk beregu campuran, kekal dengan kategori sebelum ini,” jelas Choong Hann.