HAMPIR melakukan kejutan, Arif Junaidi menyalahkan diri sendiri melakukan kesilapan mudah selepas dia dan Yap Roy King tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Dunia 2025.
Pasangan muda negara itu tewas kepada gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan keputusan 21-18, 18-21, 24-26 dalam masa 64 minit.
Selepas memenangi set pertama. Arif-Roy King memimpin set kedua pada mata 8-6, 13-8, 14-11 namun cengkaman mereka merosot hingga te4paksa beraksi ke set penentuan.

Arif-Roy King hampir mengejutkan pasangan utama negara, Aaron-Wooi Yik di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025.
Pada set penentuan, kedua-dua pasangan saling mengejar namun Arif-Roy King berjaya melebarkan kedudukan, 16-14, 18-15 sebelum ditangkap kembali hingga beraksi ke mata dius.
“Persembahan saya sangat teruk hari ini, banyak kesilapan mudah dan saya rasa ia punca utama kekalahan kami, bukan salah rakan (Roy King) saya,” kata Arif.
Roy King pula kecewa kerana peluang untuk mengejutkan senior sudah ada, namun gagal dimanfaatkan dengan sempurna.

Aaron-Wooi Yik akan berdepan Satwiksairaj-Chirag di suku akhir selepas gandingan India itu menyingkir pilihan keenam dari Chinq, Liang Wei Keng-Wang Chang.
“Kami sangat kecewa kerana ada peluang untuk menang tetapi gagal memanfaatkannya, namun jatuh sekali tak bermakna kami tidak boleh bangkit,” ujar Roy King.
Justeru, Aaron-Wooi Yik ke suku akhir namun sayangnya, harapan melihat pertemuan dua beregu negara di separuh akhir tidak menjadi, apabila pilihan ketiga kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kandas di pusingan ketiga apabila tewas di tangan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan, 20-22, 21-15, 21-23.
Namun satu lagi pasangan negara yang bermain dalam undian atas, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tiada masalah mengatasi berrgu England, Ben Lane-Sean Vendy 21-18, 21-18 untuk menempah pertemuan suku akhir menentang pemain nombor 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae (Korea).
Aaron-Wooi Yik.pula berdepan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.