KONTINJEN Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendominasi Karnival Sukan Masum Fasa 1 dengan meraih 19 emas, 19 perak dan 16 gangsa pada kejohanan yang berakhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada Ahad.

Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul naib juara dengan kutipan pingat 14 emas, 10 perak dan 10 gangsa manakala Universiti Malaya (UM) tempat ketiga dengan 11 emas yang membabitkan 20 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menariknya, pasukan memanah UiTM beraksi dengan prestasi cemerlang berjaya membawa pulang 7 emas, 5 perak dan 5 gangsa.

Sementara itu, pasukan Taekwondo UiTM turut gah apabila mengutip 6 pingat emas, 4 perak dan 8 gangsa. Kecemerlangan itu diteruskan dalam acara bola baling lelaki dan wanita pasukan UiTM yang bergelar juara.

Edisi Sukan Masum Fasa 1 mempertandingkan lapan acara sukan, antaranya acara memanah, Taekwondo, bola baling, boling padang, softball, menembak, bola tampar dan bola keranjang.

Pasukan memanah UiTM beraksi dengan prestasi cemerlang.

Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohamed berkata kejayaan mengungguli sukan Masum Fasa 1 ini adalah atas sokongan yang berterusan dari pihak Pengurusan tertinggi UiTM.

“Malahan latihan pusat yang berkala dan semangat juang yang tinggi oleh para atlet UiTM serta pengurus dan jurulatih pasukan. Lebih manis lagi UiTM mempertahankan kejuaraan yang dimenangginya pada tahun 2018, 2019, 2020 dan tahun 2022 manakala 2021 tidak dipertandingkan kerana negara dilanda wabak Covid 19,” katanya dalam kenyataan.

Sukan Masum Fasa 2, akan bersambung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bermula 23 hingga 30 Ogos 2023.