PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Gabriel Palmero menegaskan beliau akan terus memberikan yang terbaik setiap kali diberi peluang menyarung jersi kebangsaan kerana menganggap ianya satu penghormatan besar dalam kariernya.

Bek kiri berusia 23 tahun yang kini beraksi bersama kelab Unionistas de Salamanca itu berkongsi pengalaman manis setiap kali dipanggil menyertai kem latihan skuad negara sepanjang kalendar antarabangsa September. Katanya, berada di Malaysia memberikan pelbagai memori indah yang menambah semangat untuk berjuang demi panji negara.

“Sekali lagi bila berada di negara yang istimewa ini, ia memberi saya pengalaman dan memori yang mengagumkan. Sudah tentu, ia satu penghormatan dan saya lakukan yang terbaik untuk panji ini. Semua untuk Harimau Malaya,” katanya.

Palmero menunjukkan aksi yang cermelang ketika pasukan negara menentang Palestin isnin lalu.

Palmero kini sudah merekodkan empat penampilan bersama skuad kendalian Peter Clamovski, termasuk ketika menentang Singapura dan Palestin. Pengalamannya di pentas antarabangsa dijangka menjadi nilai tambah penting untuk kariernya di Eropah.

Unionistas de Salamanca turut mengharapkan sentuhan bertenaga Palmero apabila mereka turun menentang Guadalajara dalam aksi liga pada 15 September ini, dengan keyakinan bahawa minit bermain di peringkat antarabangsa mampu memberi impak positif.

Bagi Palmero, setiap minit di padang bersama Harimau Malaya bukan sekadar tugasan, tetapi satu bentuk penghormatan yang mendorongnya untuk terus tampil dengan persembahan terbaik.