USIA bukan penghalang buat atlet cilik negara, Vinirsa Hari Haran apabila menjuarai kategori Perempuan Bawah 11 Tahun (GU11), Kejohanan Skuasy Southern Slam Chennai 2025, semalam (6 Jun).

Lebih manis, kejayaan diraih pemain berusia 10 tahun itu hadir selepas mencipta kejutan, menyingkir pilihan utama kejohanan, Arunima Chaubey dari India di suku akhir, sekali gus membuktikan dirinya bukan calang-calang pencabar meskipun baru pertama kali beraksi di pentas antarabangsa.

Beraksi sebagai pilihan ke-5 hingga ke-8, Vinirsa benar-benar dicabar pada perlawanan akhir, apabila menentang rakan senegara, Sashana Istritharan.

Tewas dua set pertama 1-11, 11-13, Vinirsa membuktikan ketahanan mental dan fizikal luar biasa apabila bangkit semula untuk menang tiga set berikutnya 11-7, 11-9, 11-9 dalam perlawanan epik yang menyaksikan penonton di Chennai terpukau dengan keazaman gadis kecil ini.

Kemenangan itu bukan sahaja melonjakkan nama Vinirsa dalam kalangan bakat muda Asia, malah menghadirkan harapan pelapis skuasy negara yang dilihat terus mencabar di peringkat antarabangsa.

Southern Slam Chennai 2025 menerima penyertaan 380 peserta merangkumi 12 acara dari tiga negara, sekali gus memberi pengalaman berguna buat Vinirsa yang baru memulakan langkahnya dalam dunia skuasy kompetitif luar negara.