MUSIM 2025/2026 yang bakal bermula Ogos ini bakal menyaksikan tonggak Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya beraksi selama sedekad dengan pasukan ibu kota itu. Zhafri, yang pada mulanya hanya menyertai Kuala Lumpur secara pinjaman dari Selangor pada musim 2016, kini menjadi antara tonggak utama dalam skuad Warga Kota.
“Saya tidak sangka mampu bertahan sehingga 10 musim bersama Kuala Lumpur. Pada mulanya saya hanya dipinjamkan ke Kuala Lumpur dari Selangor pada musim 2016 ketika pasukan dibimbing Allahyarham Ismail Zakaria. Namun selepas tamat musim 2016, saya terus melanjutkan kontrak dua tahun dan kekal hingga kini,” kata Zhafri ketika dihubungi Flash Sukan.
Sepanjang bersama KL City, pemain kelahiran Klang itu sudah melalui pelbagai fasa termasuk zaman kejatuhan dan kebangkitan semula pasukan. Antara detik paling manis buatnya tentunya kejayaan membantu Kuala Lumpur menjulang Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di final, sekaligus menamatkan kemarau 32 tahun kejuaraan piala berprestij itu.

Gol kedua perlawanan dijaringkan oleh Zhafri Yahya dalam perlawanan persahabatan pertama antara Melaka FC dengan KL City FC yang diadakan di Padang PKNS , Petaling Jaya , April 6 , 2024 (Photo Akma / Flash Sukan )
Ketika ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan KL City mengenai siapa yang bakal mengendalikan pasukan bagi musim akan datang. Malah, senaraipemain baharu juga belum diumumkan secara rasmi meskipun terdapat desas-desusmengenai kemasukan beberapa nama besar di kalangan pemain tempatan.
Namun, bagi Zhafri, ketidaktentuan itu bukan satu masalah besar. Beliau terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana jurulatih serta pemain baharu yang akan menyertai pasukan. “Tiada masalah bagi saya bekerja dengan mana-mana jurulatih dan pemain. Sebelum ini pun Kuala Lumpur sudah beberapa kali menukar jurulatih dan saya juga menyambut baik sekiranya terdapat pemain tempatan berpengalaman menyertai pasukanuntuk menambah kekuatan kami,” jelasnya lagi.

Zhafri Yahya ketika beraksi di kempen Liga Super.
Sebagai pemain senior dalam pasukan, Zhafri turut memainkan peranan penting dalam membimbing pemain muda dan menjadi penghubung antara barisan kejurulatihan serta rakansepasukan.
Zhafri juga dilihat sebagai simbol kesetiaan dalam era bola sepak moden yang menyaksikan ramai pemain sering bertukar pasukan setiap musim. Komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan Zhafri menjadikan beliau sebagai figura dihormati di kalangan penyokong KL City dan juga pasukan lain.
Selain Zhafri, seorang lagi pemain yang turut lama mengerah kudrat bersama Kuala Lumpur City ialah penyerang naturalisasi kebangsaan, Paulo Josue dan sudah pasti peminat setiamereka mahu kelibat dua tonggak senior ini kekal dengan pasukan kerana komitmen dan semangat juang mereka turut memberi inspirasi kepada pasukan.