Kredit Gambar: Darren Staples/AFP
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mengakui barisan pertahanan baharu pasukan itu memerlukan masa untuk membentuk keserasian, namun percaya kehadiran Ronald Araujo dan Jeremy Jacquet mampu memperkukuh benteng The Reds.
Liverpool terpaksa melakukan perubahan di bahagian pertahanan susulan penghijrahan Ibrahima Konate dan Andy Robertson, selain kecederaan otot yang dialami Joe Gomez pada aksi pramusim pertama kelab.
Bagi menambah pilihan di posisi tersebut, Liverpool mendapatkan khidmat pertahanan Uruguay, Araujo secara pinjaman selama semusim daripada Barcelona, manakala Jacquet menyertai kelab berkenaan selepas ditandatangani pada Februari lalu.
Kedua-dua pemain itu mendapat peluang beraksi ketika Liverpool menewaskan Como 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Anfield, semalam, dengan Jacquet turut mencatatkan namanya sebagai penjaring.
Van Dijk percaya aksi kompetitif akan membantu mereka membina persefahaman dengan lebih pantas berbanding sesi latihan.
Menurutnya, walaupun terdapat perbezaan dari segi komunikasi, setiap pemain mempunyai kemampuan untuk membaca permainan dan memahami situasi ketika bertahan.
“Jelas bahawa anda perlu membentuk keserasian bersama dan ia memerlukan sedikit masa. Pada pendapat saya, perkara itu sangat normal.
“Namun, diharapkan kami dapat membentuk keserasian tersebut secepat mungkin,” katanya.
Van Dijk turut menyifatkan Araujo dan Jacquet sebagai pemain berkualiti yang mampu memberikan pilihan tambahan kepada pengendali Liverpool bagi menghadapi musim baharu.
Liverpool yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kelima musim lalu kini akan membuka kempen baharu dengan aksi sukar menentang Newcastle United di tempat lawan pada Ahad ini.
Kehadiran gandingan baharu di bahagian pertahanan pastinya menjadi antara aspek yang akan diberikan perhatian ketika Liverpool memulakan usaha untuk kembali bersaing di kelompok teratas liga.