NASIB tidak menyebelahi dua pasukan Asia Tenggara – Vietnam dan Thailand apabila dilanda krisis kecederaan sekaligus mengganggu persiapan pasukan menjelang sepak bola Piala Asia 2023 di Qatar pada 12 Januari 2024.

Pasukan terbaik Asean dari kedudukan ranking, Vietnam mengalami krisis kecederaan terburuk yang menyaksikan skuad kendalian Phillipe Troussier kehilangan lapan pemain utama.

Menurut laporan Persatuan Bola Sepak Vietnam, The Golden Star kehilangan khidmat penjaga gol utama, Dang Van Lam selain empat lagi pemain termasuk pertahanan Nguyen Duc Chien, Nguyen Thanh Chung, pemain tengah berpengaruh, Hoang Van Toan dan penyerang, Nguyen Thanh Nhan.

Menambah tekanan, pemain terbaik Vietnam 2021, Nguyen Hoang Duc turut mengalami kecederaan buku lali kiti dan mungkin diketepikan dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Asia.

Krisis kecederaan Vietnam tidak berakhir di situ apabila dua lagi pemain, penyerang utama Nguyen Linh dan kapten pasukan, Que Ngoc Hai juga dipastikan terlepas aksi Piala Asia sekaligus menggugat peluang Vietnam dalam Kumpulan E yang turut dibarisi Jepun, Iraq dan Indonesia.

Vietnam bakal membuka tirai saingan bertemu Jepun pada 14 Januari sebelum berdepan Indonesia pada 19 Januari dan melengkapkan aksi kumpulan bertemu Iraq pada 24 Januari.

Sementara itu satu lagi pasukan Asean, Thailand turut kehilangan tiga pemain utama — Teerasil Dangda, Chanatip Songkrasin dan Thitipan Puangchan ekoran kecederaan.

Skuad Gajah Perang juga bakal menghadapi laluan yang berliku di Piala Asia apabila diundi dalam Kumpulan F bersama-sama Republik Kyrgyz, Arab Saudi dan Oman.

Thailand akan memulakan saingan bertemu Republik Krygyz pada 16 Januari sebelum berhadapan Oman pada 21 Januari dan melengkapkan aksi kumpulan bertemu Arab Saudi pada 25 Januari.