MASA semakin suntuk buat skuad hoki negara melakukan persiapan namun undian pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024, dengan dibelenggu masalah kecederaan namun perkara positif boleh diambil adalah undian yang dianggap memihak kepada skuad negara.

Hal itu diakui pengurus pasukan kebangsaan lelaki, Datuk Mirnawan Nawawi yang berasakan undian skuad bimbingan A Arulselvaraj dalam kumpulan A pada pusingan kelayakan di Muscat, Oman, satu kelebihan, apabila bersama China, Pakistan dan Great Britain (GB).

Sambil menyifatkan GB sebagai pasukan pilihan, pertemuan terakhir dengan Pakistan dan China di Sukan Asia lalu, membolehkan skuad negara mengumpul input berguna.

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi (dua dari kiri) yakin pengalaman di Sukan Asia Hangzhou mengajar skuad negara untuk lebih baik di Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

“Tiada yang mudah apabila berada di pusingan kelayakan Olimpik, kejohanan ini memang mencabar dan sukar.

“Lebih penting kita bersama pasukan Pakistan dan China, ia menjadi kelebihan kerana kita tahu kekuatan dan kelemahan mereka.

“Pasukan akan mengambil satu persatu perlawanan untuk menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua.

“Dalam masa sama, kekalahan kepada Pakistan dan seri dengan China di Sukan Asia ke-19 lalu, tidak boleh berulang,” kata Mirnawan ketika dihubungi.

Begitupun katanya, pasukan akan membuat analisa terperinci setiap lawan yang akan ditemui di Oman.

Perkara paling penting ketika ini adalah sudah melupakan episod kekecewaan di Hangzhou, China.

Pasukan hoki lelaki kebangsaan mempamer prestasi di bawah par pada temasya Sukan Asia Hangzhou.

“Kita dah move on untuk menghadapi tugasan penting pada Januari. Bedah siasat sudah dijalankan dalam kalangan jurulatih dan pemain, perkara baik kita teruskan dan tambah baik manakala kekurangan kita tanganinya,” ujarnya.

Mirnawan pernah beraksi pada saingan kelayakan sebanyak enam kali, tiga kali kelayakan Olimpik dan tiga kali kelayakaan Piala Dunia.

Beliau berjaya melepasinya lima kali dan gagal sekali ketika pasukan kebangsaan tercicir daripada menyertai Piala Dunia Sydney 1994.

Mirnawan beraksi di tiga Sukan Olimpik iaitu Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000, selain Piala Dunia 1998 di Utrecht dan Kuala Lumpur 2012.

Skuad Olimpik Sydney 2000, Datuk Mirnawan Nawawi antara tonggak pasukan.

Justeru, beliau amat memahami tahap kesukaran bermain di pusingan kelayakan dan mahukan pasukan lebih bersedia dari segi mental, fizikal dan juga aspek lain.

“Setakat ini, kita berdepan masalah kecederaan tapi kita perlu percayakan prosesnya.

“Sambil mengharapkan pemain tonggak pulih untuk tampil dalam pasukan terkuat, apa yang kita ada teruskan dahulu,” kata Mirnawan lagi.

Tiada yang mustahil… jadikan semangat menjulang trofi Piala Sultan Azlan Shah 2022 sebagai titik kebangkitan.

Skuad hoki lelaki negara akan beraksi di Muscat Oman diundi dalam Kumpulan A bersama GB, China dan Pakistan manakala kumpulan B pula membabitkan Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.

Satu lagi aksi kelayakan berlangsung di Valencia, Sepanyol membabitkan Belgium, Ireland, Jepun, Ukraine (kumpulan A) dan Sepanyol, Korea, Austria dan Mesir (kumpulan B) dengan tiga slot ke Olimpik Paris 2024, ditawarkan di setiap venue.

Pusingan kelayakan akan berlangsung pada 13 hingga 21 Januari 2024.