ANFIELD bergema dengan lautan merah apabila Liverpool sah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini selepas membelasah Tottenham Hotspur 5-1, sekali gus menamatkan kempen dengan penuh bergaya dan emosi di hadapan penyokong setia mereka pada Ahad.

Kemenangan besar itu memastikan skuad bimbingan Arne Slot mengumpul kelebihan 15 mata ke atas Arsenal di tangga kedua, dengan hanya empat perlawanan berbaki — menjadikan Liverpool tidak boleh lagi dipintas dalam perebutan takhta. Ini adalah kejuaraan Liga Perdana Inggeris kedua buat The Reds dalam era moden dan ke-20 dalam sejarah divisyen teratas bola sepak England.

Kapten pasukan, Virgil van Dijk meluahkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian bersejarah ini sambil menegaskan bahawa kejayaan tersebut adalah sesuatu yang tidak pernah diambil ringan oleh kelab itu. “Ia sesuatu yang amat istimewa. Apa yang berlaku hari ini sungguh luar biasa. Kami berhak menjadi juara England,” ujar Van Dijk ketika melakukan pusingan penghormatan di hadapan ribuan penyokong yang tidak henti-henti menyanyikan lagu keramat ‘You’ll Never Walk Alone’.

Berbeza dengan kejuaraan lima tahun lalu yang diraikan dalam kekangan pandemik COVID-19 tanpa kehadiran penyokong, kali ini Anfield penuh sesak dan bergegar meraikan kejayaan bersama wira mereka. “Saya amat terdesak untuk mereka berada di sini, untuk semua peminat di seluruh dunia. Ini adalah saat yang kami impikan,” tambah Van Dijk.

Arne Slot pula mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi jurulatih yang menghadiahkan kejuaraan liga pada musim pertamanya bersama Liverpool. Beliau mengakui bahawa tekanan tinggi dirasai sejurus menaiki bas pasukan ke Anfield, namun keyakinan dalam skuadnya tidak pernah goyah. “Semua orang dalam bas berkata, ‘Kita tidak akan kalah dalam perlawanan ini’. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menang,” kata Slot penuh bangga.

Slot turut menyeru agar semua pihak yang terlibat, termasuk pengarah sukan dan barisan kejurulatihan, diberikan penghormatan atas kejayaan gemilang ini. “Mari kita lupakan hakikat ini adalah kejuaraan kedua dalam 35 tahun. Ini adalah kejuaraan kedua dalam lima tahun,” tegasnya, membuktikan bahawa Liverpool kini kembali menjadi kuasa besar yang disegani di England.

Dengan kejuaraan ini, Liverpool bukan sahaja mengembalikan keagungan mereka, tetapi juga mencipta memori manis buat seluruh penyokong yang setia menanti saat gemilang ini kembali mewarnai Anfield.

PIX:LIVERPOOL FC