KELAB bola sepak Imigresen FC secara rasmi dijenamakan semula sebagai Star City Football Club (SCFC) bermula 1 Julai 2026 sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/27.
Pengumuman itu dibuat pengurusan tertinggi IFC Corp yang menyifatkan penjenamaan semula berkenaan sebagai satu langkah besar dalam membina era baharu buat kelab berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi kelab, perubahan identiti itu melambangkan usaha untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih profesional, progresif dan berdaya saing, selari dengan aspirasi jangka panjang untuk muncul sebagai antara kelab terkemuka di Malaysia.
Nama Star City FC dipilih berinspirasikan bandar Alor Setar, ibu negeri Kedah. Perkataan “Star” membawa simbolik kepada Alor Setar sebagai pusat sejarah, pentadbiran dan pembangunan negeri, manakala “City” mencerminkan imej kelab moden dengan cita-cita besar untuk melangkah lebih jauh.
Walaupun tampil dengan identiti baharu, SCFC menegaskan kelab itu akan terus berpangkalan di Alor Setar dan kekal mewakili kebanggaan rakyat Kedah serta komuniti bola sepak di utara tanah air.
Selari dengan perubahan tersebut, kelab turut memperkenalkan moto rasmi baharu iaitu The Pride of The North, manakala komuniti penyokong rasmi mereka kini dikenali sebagai The Northern Stars.
Pihak pengurusan percaya penjenamaan semula ini bukan sekadar pertukaran nama, sebaliknya menjadi simbol kepada visi, identiti dan hala tuju baharu kelab dalam membina legasi lebih besar.
Dengan penampilan logo baharu dan identiti segar, Star City FC kini bersedia membuka lembaran baharu menjelang musim 2026/27 dengan harapan menjadi antara pencabar serius dalam kancah bola sepak tempatan.