BEREGU Tibai Angin dan Keloi masing-masing membuktikan keunggulan apabila mengungguli Kejohanan Badminton Tertutup Piala Ketua Jabatan 2025 anjuran Kelab Kebajikan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum (JBPU), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tibai Angin menungguli kategori beregu wanita apabila mengetepikan cabaran Adik Manis kedua diikuti Swift Duos ketiga.

Keloi pula gah mendominasi acara beregu lelaki apabila melepasi cabaran Garuda dan Pelanting masing-masing kedua dan ketiga.

Kategori VIP pula menyaksikan keungggulan beregu pasukan Ketua Jabatan JBPU, Prof Madya Dr Shuhairimi Abdullah-Ahsha Muniandy menewaskan skuad Timbalan Dekan Akademik, Dr Rozilawati Mahadi-Nazmizan Muhammad.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan aktiviti riadah dan kesihatan, tetapi juga platform meningkatkan hubungan kerja yang lebih harmoni dalam kalangan kakitangan JBPU.

“Melalui sokongan padu dari Kelab Kebajikan JBPU, program ini membuktikan komitmen jabatan dalam menjaga kebajikan dan keharmonian komuniti kerja,” kata Prof Madya Dr Shuhairimi.