Oleh MOHD HILMIE HUSSIN & IZZATI RAHMAN
DEMI keagungan seorang idola bola sepak, peminat setia dari Alor Setar, Kedah hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan semangat membara, mahu melihat Faisal Halim menjaringkan gol dan menjulang Selangor FC sebagai juara Piala FA 2024.
Irfan Afif Ramli atau lebih senang dikenali sebagai Pak Tam, 25, memegang bendera Selangor dengan memakai jersi Merah Kuning, merias diri dengan mekap melambangkan warna negeri itu, tanpa berselindung mahukan Selangor FC mengalahkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim pada final malam ini.
“Saya membawa semangat Faisal Halim dan ramai lagi pemain Selangor yang saya sokong tahun ini.
“(Di final) kali ini, saya buat berhabis-habisan , duit juga sudah banyak saya habiskan jadi buatlah yang terbaik Selangor, tolonglah.
“Kita nak tumbangkan JDT bukan payah dan bukan senang, tetapi orang cakap gajah pun boleh tumbang,” kata Pak tam, ditemui di perkarangan SNBJ.
Dia yang tiba dari Alor Setar semalam, mengakui darah dalam dirinya tiada kaitan dengan Selangor namun menyokong kelab dari Lembah Klang itu kerana minat mendalamnya terhadap Faisal.
“Saya orang Kedah, aura yang saya bawakan ini mahu menyokong Faisah Halim… dia kad pengenalan 07, saya 02… Faisal banyak naikkan nama Malaysia.
“Ekspektasi saya terhadap Faisal, saya nak dia jaringkan sekurang-kurangnya satu gol, saya nak tengok sejak dia kembali bermain ni… dia belum menjaringkan gol dan malam ni saya nak dia score,” kata Pak Tam.

Peminat yang mahu menonton perlawanan dan bukannya drama.
Pak Tam mengakui, dia turun ke Lembah Klang kali kedua untuk menyokong Selangor, selepas ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ketika Selangor menewaskan Terengganu 4-1 pada separuh akhir kedua Piala FA.
Untuk perlawanan akhir malam ini, Pak Tam menjangkakan Selangor menang 2-1, atau 3-1.