Wolverhampton Wanderers disahkan tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris selepas keputusan seri tanpa jaringan antara West Ham United dan Crystal Palace menutup peluang mereka untuk kekal.
Pasukan dari Midlands itu kini ketinggalan 16 mata di belakang kedudukan selamat dengan hanya lima perlawanan berbaki, sekali gus mengesahkan kejatuhan mereka ke Liga Kejuaraan musim depan.
Menghuni tangga tercorot liga, Wolves melalui musim yang sukar apabila hanya mencatat tiga kemenangan daripada 33 perlawanan setakat ini.
Walaupun sempat melakar beberapa keputusan positif termasuk menewaskan Aston Villa dan Liverpool, prestasi tidak konsisten sepanjang musim menyaksikan mereka gagal mengelak penyingkiran selepas lapan tahun beraksi di EPL.
Perubahan di bangku kejurulatihan juga tidak banyak membantu apabila Vitor Pereira yang memulakan musim bersama Wolves dipecat awal, sebelum digantikan oleh Rob Edwards.
Namun, Edwards berdepan tugas getir untuk mengubah nasib pasukan dan tidak mampu mengelakkan Wolves daripada terjerumus ke zon penyingkiran.
Dalam perkembangan sama, Burnley yang berada di tangga kedua tercorot turut berada di ambang penyingkiran dan perlu mencatat keputusan positif dalam baki perlawanan untuk terus bertahan.
Tottenham Hotspur pula masih bergelut untuk keluar dari zon bahaya selepas gagal meraih kemenangan dalam beberapa aksi terakhir, manakala Nottingham Forest dan Leeds United berjaya memperbaiki kedudukan dengan kemenangan penting hujung minggu lalu.
Sementara itu, Coventry City memastikan tempat ke EPL musim depan selepas mengesahkan promosi dari Liga Kejuaraan, menamatkan penantian 25 tahun untuk kembali ke saingan tertinggi bola sepak England.