SEMAKIN hampir saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, persiapan pasangan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik lebih fokus kepada persiapan mental.
Kedua-duanya mengambil pendekatan menganggap setiap perlawanan yang akan diharungi pada saingan bermula 13 hingga 17 Disember ini sebagai final.
Menurut Wooi Yik, setiap perlawanan sangat penting buat mereka mara jauh selain menghapuskan badi terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.

Soh Wooi Yik mahu dia dan Aaron memahatkan dalam fikiran, setiap perlawanan itu sebagai perlawanan akhir.
“Peluang untuk setiap beregu mencatatkan kemenangan adalah 50-50 memandangkan kejohanan ini menghimpunkan lapan pasangan terbaik (dalam ranking Jelajah Dunia BWF).
“Apabila berdepan dengan pasangan terbaik, kami perlu sentiasa fokus dan menerapkan strategi permainan yang betul selain tidak boleh buat banyak kesilapan mudah.
“Untuk permulaan, kami sasarkan untuk keluar daripada peringkat kumpulan kerana sebelum ini tiga kali kami gagal melakukannya. Kami benar-benar berharap boleh lepasi peringkat kumpulan kali ini,” kata Wooi Yik.
Pasangan nombor tiga dunia itu sebelum ini tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2019, 2020 dan 2022.

Tujuh lagi pasangan yang layak pada edisi 2023 adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).
Mengikut format pertandingan, kesemua lapan pasangan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua gandingan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir.
Majlis undian peringkat kumpulan dijadual berlangsung Isnin ini.
Kejohanan akhir musim itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.68 juta) kepada para pemenang.