PENJAGA gol pasukan Bournemouth, Darren Randolph, dikelilingi oleh pasukan perubatan dan dibawa keluar dalam detik yang mendebarkan sebelum perlawanan bermula.

Perlawanan Liga Pembangunan Profesional pada Selasa menentang Ipswich di Stadium Vitality ditangguhkan selama 10 minit ketika bekas bintang West Ham itu menerima rawatan.

Pemain berusia 36 tahun yang sepatutnya menyertai perlawanan itu dilaporkan berbaring dan mengadu berasa tidak sihat semasa aktiviti pemanasan.

Kesemua pasukan perubatan Bournemouth bergegas untuk membantu Randolph dalam kejadian itu.

Dia kemudiannya dibawa keluar dari padang menggunakan pengusung.

Namun, ketua jurulatih skuad pembangunan, Alan Connell kemudian meyakinkan peminat bahawa Randolph “berada dalam keadaan baik” dan bekas nombor 1 Birmingham mampu meninggalkan stadium itu “atas kehendaknya sendiri”.

Bekas penyerang Cherries, Connell, 40, memberitahu melalui akaun akademi kelab di X: “Darren Randolph tidak berasa sihat semasa sesi pemanasan dan memerlukan perhatian perubatan.”

“Kesemua pasukan perubatan segera membantunya, dengan amat baik.”

“Kami gembira bahawa dia kini telah kembali dan berasa jauh lebih baik dan meninggalkan stadium atas kehendaknya sendiri.”

“Kami sangat gembira dengan hasilnya. Sayang sekali dia tidak dapat menyertai permainan ini tetapi jelas kesihatannya adalah perkara yang paling penting.”

The Daily Echo bagaimanapun melaporkan Randolph “lulus kesemua pemeriksaan perubatan”.