PEMAIN beregu negara, Yap Roy King menerima hadiah wang tunai tertinggi di Kejohanan Badminton Kebangsaan selepas meraih dua gelaran menerusi acara beregu lelaki dan beregu campuran.

Roy King meraih gelaran pertamanya menerusi beregu campuran bersama pasangan, Valeree Siow selepas mengatasi rakan sepelatih Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-19, 21-18 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara.

Dia yang kemudiannya berpasangan dengan Wan Arif Wan Junaidi mengungguli saingan beregu lelaki selepas mengatasi Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-17, 21-12 pada aksi final.

Dua gelaran itu menyaksikan Roy King membawa pulang hadiah tunai keseluruhan sebanyak RM12,500 selepas memenangi RM10,000 dalam beregu campuran dan RM15,000 bagi saingan beregu lelaki.

Yap Roy King meraih gelaran kedua Kejohanan Kebangsaan bersama Wan Arif Junaidi.-Pix BAM

Secara keseluruhan, Roy King dijangka menerima RM12,500 selepas memenangi RM10,000 bersama Valeree dalam beregu campuran selain meraih RM15,000 bersama Wan Arif selaku juara beregu lelaki.

“Terima kasih kepada pasangan saya kerana membantu saya dalam gelanggang, lebih-lebih lagi bermain dalam dua acara. Saya dapat kelebihan dari segi keyakinan dan pengalaman jika bermain dalam dua acara.

“Belum tahu lagi nak guna (wang kemenangan) untuk apa, mungkin buat makan dulu. Apa yang penting adalah saya turun hari ini (semalam) dengan niat untuk menang,” kata Roy King kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Roy King-Arif yang hanya mula digandingkan pada Mac lalu sudah mencetuskan impak positif apabila berjaya merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Nantes dan mara ke separuh akhir Masters Denmark.

Mereka kini sudah berada di kedudukan ranking ke-85 dunia.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menepati ramalan menumpaskan pemain bukan pilihan Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar dengan keputusan 21-16, 21-13 untuk bergelar juara, sekaligus menebus kekecewaan pada edisi 2019.

Leong Jun Hao berterima kasih kepada Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar kerana memberi cabaran yang baik di final perseorangan lelaki. Pix BAM

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan K.Letshanaa muncul juara apabila menumpaskan rakan sepasukan Wong Li Ching.

Bagaimanapun kemenangan tidak hadir dengan mudah buat Letshanaa apabila diberikan cabaran sukar oleh Ling Ching sebelum pemain Selangor itu menoktahkan kejayaan dengan keputusan 16-21, 21-17, 21-19 dalam tempoh 66 minit.

K Letshanaa muncul juara perseorangan wanita baharu untuk Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023. -Pix BAM

Bagi acara beregu wanita pula, kemenangan yang cukup emosional buat Vivian Hoo yang kini bergerak sebagai pemain profesional bersama Lim Chiew Sien.

Vivian-Chiew Sien membuktikan mereka masih mempunyai sentuhan juara apabila mudah menewaskan Cheng Su Hui-Vanessa Ng dengan keputusan 21-13, 21-7.

Kejuaraan itu yang keempat buat Vivian yang pernah bergandingan dengan tiga pasangan berbeza dalam saingan ini, termasuk Woon Khe Wei (2011 dan 2016) dan Chow Mei Kuan (2013).