BELUM reda isu krtikan metizen terhadap Toh Ee Wei, kini beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin pula dijadikan sasaran apabila pemain asal Melaka itu mendakwa menerima ugutan dalam talian.
Ini berikutan kekalahan pemain itu dan pasangannya Teo Ee Yi yang tersingkir awal di Masters Indonesia, semalam.
Yew Sin mendedahkan perkara itu menerusi hantaran di Instagram dengan memuat naik tangkapan skrin mesej berunsur ancaman susulan kekalahan 18-21, 15-21 kepada beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
“Kalian patut bersara sahaja, saya akan melakukan segala yang termampu untuk memaksa kamu bersara,” antara ancaman yang diterima Yew Sin.
Individu terbabit turut mengeluarkan ugutan lebih serius dengan mesej, “Jika kamu terus gagal dan tewas kepada lawan yang sepatutnya bukan masalah, suatu hari nanti saya akan datang dan perkara buruk akan berlaku.”
Ancaman itu memuncak apabila pengirim menulis, “Saya akan membawa pisau dan menetak tangan Ee Yi supaya kamu terpaksa menukar pasangan atau bersara.”
Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan serta kesejahteraan mental atlet negara, susulan kes serupa membabitkan Ee Wei yang sebelum ini turut berdepan kritikan melampau warganet hingga menyerang keluarganya.
Beberapa bulan lalu juga, seorang pemain yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada menerima ancaman berbaur jenayah.