KEHADIRAN semula penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin ternyata memberi suntikan segar kepada kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada Selasa ini.
Bagi bek tengah negara, Harith Haiqal, kemunculan semula Luqman bukan sekadar mengisi slot serangan — tetapi membawa variasi dan tenaga yang pernah mewarnai pasukan kebangsaan.
Harith mengakui tiga hari pertama latihan berjalan sangat lancar dan seluruh pasukan kini berada dalam keadaan fizikal serta mental terbaik.

Luqman Hakim Shamsuddin dipanggil menyertai kem latihan berpusat menggantikan Jordan Mintah yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan.
Alhamdulillah, setakat ini semua berjalan dengan baik. Tiga hari kem berlangsung dengan sangat lancar dan seluruh pemain berada dalam keadaan yang sangat baik. Insya-Allah kami semua bersedia untuk perlawanan menentang Nepal,” katanya.
Namun tumpuan jelas terarah kepada Luqman, yang kembali beraksi di Liga Malaysia sebelum dipanggil semula ke skuad negara. Bagi Harith, kehadiran rakan seangkatannya itu membawa nilai tambah yang amat diperlukan skuad kebangsaan ketika ini.
“Dengan adanya muka baharu seperti Luqman, Insya-Allah ia dapat membantu pasukan. Saya memang gembira dia kembali beraksi dalam liga tempatan dan bersama pasukan kebangsaan. Dia ada sesuatu yang boleh menambah baik pasukan ini,” jelas Harith.

Aliff Izwan antara pemain muda yang menerima panggilan pasukan kebangsaan kali ini.
Harith turut menyifatkan pemanggilan Luqman dan Aliff Izwan sebagai langkah penting memberi pendedahan awal kepada bakat muda, sekali gus mempelbagaikan pilihan taktikal pasukan.
“Untuk Aliff Izwan, ini pengalaman yang sangat baik untuk dia. Dan untuk Luqman pula, jika dia mendapat peluang, saya percaya dia boleh menunjukkan yang terbaik,” katanya.