KETUA Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui jurang yang terlalu besar antara pasukannya dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 1-8 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Dia juga sedar kualiti yang ada pada skuadnya namun dia bersyukur kerana pemainnya berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk sampai ke tahap ini meskipun tidak gemar tewas dengan agregat yang besar.

“Secara realiti semua tahu jurang antara pasukan kita dengan JDT. Kita hadir bukan untuk kalah 8-0 dan pemain tidak harus malu kerana tewas dengan pasukan yang lebih kuat. Syukur kerana dapat sampai ke tahap ini dan ini adalah kemampuan pasukan kami.

“Jurang kualiti antara kami dan JDT cukup besar. Kita beraksi dengan pasukan yang ‘intelligent‘ dan semua tahu kekuatan mereka dan kami cuba imbanginya namun kita sedar kekuatan kami dan saya akan pikul sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Yusri cuba turut mengakui mana-mana jurulatih pastinya kecewa apabila tewas dengan jaringan besar namun dia menganggap ianya sebagai satu pengalaman buat pemain mudanya untuk persiapan pasukan musim hadapan.

“Mana-mana jurulatih pasti merasa kecewa dengan kekalahan seperti ini tetapi para pemain telah berikan yang terbaik dan semua pemain perlu ambil iktibar sebagai satu pengalaman yang baik untuk pemain muda kami,” jelasnya.

Perak jelas tidak dapat menahan asakan Harimau Selatan apabila dua jaringan daripada Bergson Da Silva, Syafiq Ahmad dan Heberty Fernandes manakala masing-masing satu dari Arif Aiman dan Fernando Forestieri cukup membawa JDT ke final Piala Malaysia keempat berturut-turut.